Negara mengalami satu jurang pendidikan sewaktu diserang pandemik Covid 19 pada 2020 hingga 2021.
Sekurang-kurangnya generasi awal yang mendapat pendidikan sekolah rendah berhadapan dengan lost generation atau generasi yang hilang dalam pendidikan.
Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai, generasi anak-anak tersebut yang baru mengenal bacaan dan tulisan tidak meneruskan pendidikan secara sempurna hampir 2 tahun kesan kelemahan Kementerian Pendidikan melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Sekarang kita hadapi pandemik yang kesannya cukup teruk kepada lost generation ini. Budak-budak baru nak mengeja ajar menulis tak sekolah setahun lebih, apa yang boleh dibuat?
"Pelajar masuk universiti umur 18 tahun. Yang hilang ini umur berapa dia baru masuk? Kita kena kira mereka hilang setahun, dua tahun, nak cover dengan apa?
"Masalah ini luar biasa, jadi tidak boleh dibuat penyelesaian dengan cara biasa," katanya dalam sesi bual bicara Lensa Parlimen bertajuk "Apa Cerita Pendidikan Negara?", semalam.
Tegas Rusnah, keciciran pelajar tidak akan berlaku sekiranya kementerian menepati janji menyediakan peranti secukupnya kepada pelajar. Lebih menyukarkan keadaan, katanya, berlaku pula salah menyalah antara kementerian mengenai 150,000 komputer riba yang masih tidak sampai ke tangan murid-murid yang menjalankan PdPR.
Mengenai pembukaan sekolah pula, sambung beliau, pihak kementerian seolah-olah tidak membincangkan secara tuntas sehingga guru-guru merungut mereka terpaksa membuat dua kerja, mengajar secara bersemuka dan mengajar juga di atas talian.
"Macam mana cikgu bergilir, buka sekolah dan perlu pula mengajar PdPR serentak. Saya rasa, salah satu cara yang perlu dibincang ia;ah ibu bapa yang ada masa mungkin boleh membantu sekolah sebagai sukarelawan untuk mengurangkan masalah ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Rusnah mengharapkan kementerian mengambil pendekatan sesegera mungkin menyelesaikan masalah peranti dan pembukaan sekolah bermula 3 Oktober depan.
Katanya, masalah tidak boleh dibiarkan sehingga menjejaskan keseluruhan sistem pendidikan dan memangsakan murid-murid era Covid 19.
Comments