top of page

Generasi Reformasi jangan tergelincir arah perjuangan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 26
  • 2 min read

ree

Generasi Reformasi yang berjuang melawan kediktatoran Tun Mahathir Mohamad pada 1998 dan tahun tahun seterusnya dinasihatkan untuk tidak tergelincir arah perjuangan dengan menyertai demonstrasi anjuran pembangkang hari ini.


Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata, terdapat segelintir generasi Reformasi yang berjuang untuk 'Malaysia lebih baik' 25 tahun lalu hari ini mahu mendesak PM Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan.


Beliau yang kecewa dengan gerakan tersebut meminta mereka menilai semula perjuangan bersama Perikatan Nasional yang tidak mempunyai matlamat jelas berbanding era Reformasi digerakkan oleh Datuk Seri Anwar dahulu.


"Seruan kepada kawan lama, kita kena lihat (perubahan) negara ini adalah wujud hasil daripada tangan (usaha) kita semua.


"Maknanya perubahan yang beraku ini - saya tidak nafikan mereka ada peranan (berjasa) mencipta perubahan - tetapi di saat kemuncaknya, salah seorang pejuang reformasi itu sendiri, dinobatkan sebagai PM, tiba tiba muncul kawan kawan kita beralih arah sehingga membuat perkara yang bagi saya dan kawan yang setia dengan reformasi, mereka ini seolah olah tersesat arah, seperti Ezam, Chegubard dan lain lain.


"Semua mereka mengakui - kami dulu berjuang, kami dulu reformasi, kami dekat dengan Anwar. Tetapi apa makna di saat reformasi sudah semakin diterima rakyat (termasuk parti gabungan BN dahulu) dan dapat dilihat dengan mata kita sendiri rakyat menikmati kebebasan suara, bebas berhimpun, tiba tiba kamu lawan sejarah (reformasi) yang pernah kamu lakukan," katanya kecewa.


Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas peranan individu tertentu yang terlibat dalam himpunan jalanan sejak dua dekad lalu mengambil bahagian dalam himpunan anjuran PN hari ini.


Menurut Mustapa, ikon himpunan jalanan yang merancang demonstrasi BERSIH dan pelbagai bantahan lain itu seharusnya sedar bahawa semua tuntutan mereka kini sedang diusahakan untuk digerakkan sebagai satu perubahan sistem yang berkekalan dalam membina Malaysia Madani.


Katanya, generasi awal reformasi seharusnya bersama dan menghulurkan tangan membantu, bukan melakukan sebaliknya menghulur tangan bersalaman dengan Tun M yang mereka gelar diktator pada dua dekad lalu.


"Lebih ironi bila melihat mereka yang menentang Mahathir sekarang cium tangan Mahathir. Di mana nilai pejuang?


"Sepatutnya perjuangan ini bukan ikut ikutan, kita berjuang nak ubah sistem negara dari korup kepada sebuah negara lebih sejahtera, sepatutnya berpendirian sama.


"Sepatutnya kita memulakan gerakan reformasi, sekarang pertahankan usaha dilaksanakan oleh kerajaan hari ini," katanya lagi.


Sehubungan itu, Mustapa berharap rakyat Malaysia boleh berfikiran jernih menghadapi otai lama perjuangan yang telah beralih arah dengan matang.


Katanya, rakyat sewajarnya melihat pendedahan kes rasuah saban hari termasuk yang melibatkan pembesar negara 'order lama' yang sepatutnya meyakinkan mereka bahawa reformasi telah pun berjalan di atas landasan yang betul di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page