
Generasi muda Malaysia wajar mengenali ketokohan sebenar yang ada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Biro Komunikasi dan Penerangan, KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob dalam satu kenyataan melahirkan rasa tidak senang apabila generasi muda hanya mengenai Anwar sebagai pemimpin pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
"Generasi muda tidak mengenali Datuk Seri Anwar sebagai seorang pemimpin dan pentadbir yang cemerlang.
"Ditambah pula dengan usaha-usaha memadamkan rekod cemerlang beliau di era 1990an beserta dengan pembunuhan personaliti yang tersusun oleh musuh-musuh Datuk Seri Anwar.

"Ini menyebabkan berlakunya kecelaruan dan juga salah informasi generasi muda terhadap beliau," katanya.
Mengulas lanjut Ahmad Nadhir berkata, kewibawaan Anwar diiktiraf di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Di peringkat nasional jelasnya, Anwar berjaya mengemudi Kementerian Kewangan dengan belanjawan negara yang berimbang yang kemudian menjadi rekod yang membanggakan.
"Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah dilantik sebagai pengerusi badan dunia Unessco dan juga Pengerusi Pembangunan Bank Dunia serta Tabung Kewangan Antarabangsa.
"Apabila tercetusnya gelombang reformasi, anak-anak muda pada ketika itu bangkit dan bersama dengan gelombang reformasi membela Datuk Seri Anwar daripada konspirasi politik kotor yang dikenakan terhadap beliau.
"Mengapa.. kerana anak muda pada ketika itu mengenali dan sempat merasai hasil kepimpinannya yang menatijahkan taraf kehidupan rakyat terbela dan hidup dalam keadaan selesa," katanya.
Justeru tegas Ahmad Nadhir, generasi muda mesti diberi maklumat yang betul mengenai latar belakang Anwar.
"Mereka (anak muda) mesti diberi maklumat yang betul dan tepat. Ini kerana apabila doktrin fitnah dan ekstrim meresap sebelum maklumat yang betul ke dalam pemikiran anak muda sampai, sukar untuk mengubahnya kembali," kata kenyataan itu.
Comments