Generasi muda diseru hayati, hormati nilai budaya serantau
- Suara Keadilan
- Jun 30
- 1 min read

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyeru anak-anak muda serantau agar memahami, menghormati dan meraikan kepelbagaian budaya dalam usaha melahirkan barisan kepimpinan masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Beliau menegaskan, generasi muda bukan sahaja perlu dilengkapi dengan kemahiran kepimpinan, tetapi juga diasuh untuk menghayati nilai toleransi, hidup bersama secara harmoni dan bekerjasama dalam satu pasukan kerana dunia hari ini tidak boleh bergerak secara bersendirian.
"Anak muda mempunyai tanggungjawab dalam memastikan masa depan yang lebih harmoni dan gemilang.
"Ini perlu dimulakan sejak di bangku sekolah dan diteruskan dalam kehidupan bermasyarakat. Kemudian,dilatih melaksanakan tanggungjawab — termasuk melalui aktiviti pengakap — supaya akhirnya lahir pemimpin yang dapat membawa negara melangkah lebih cemerlang," kata Johari yang juga Ahli Pengakap Negara.
Beliau sebelumnya hadir merasmikan Majlis Penutup Bengkel Impak Sosial dan Advokasi Rantau Asia-Pasifik (APR SIAW) 2025 di AnCasa Hotel, Kuala Lumpur pada Ahad.
Bengkel empat hari bertemakan “Pengakap Bertindak: Mencipta Impak Merentasi Sempadan” itu menghimpunkan lebih 60 peserta daripada 15 Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO).
Program ini anjuran Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (Rantau Asia-Pasifik) bersama Persekutuan Pengakap Malaysia itu bertujuan memperkukuh daya kepimpinan, memperluas kefahaman sosial serta merangka penyelesaian mampan dan inklusif.
Selain sesi pembelajaran interaktif, peserta menyertai lawatan lapangan dan perkongsian pengalaman antarabangsa.
Hasil dapatan bengkel itu dijangka akan digunakan untuk membentuk cadangan dasar serta amalan terbaik yang dapat memperkukuh inisiatif serantau pada masa akan datang.
Comentarios