Generasi masa depan hadapi risiko kesihatan, haramkan vape
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas mengharamkan sepenuhnya penjualan dan pengedaran rokok elektronik atau vape di negara ini demi melindungi kesejahteraan generasi akan datang.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, saranan itu susulan data terkini menunjukkan trend peningkatan penggunaan vape yang membimbangkan dalam kalangan remaja.
Beliau berkata, pada tahun 2022, trend menunjukkan 14.9% remaja berumur 13 hingga 17 tahun di negara ini dilaporkan menggunakan vape berbanding hanya 9.8% pada 2017.
Peningkatan mendadak itu ujarnya, bukan sahaja menggambarkan penularan ketagihan nikotin dalam kalangan belia, malah turut membawa implikasi kesihatan yang amat berbahaya.
"Kajian perubatan jelas membuktikan bahawa vape membawa kesan buruk kepada tubuh badan. Nikotin dalam cecair vape adalah sangat ketagihan, terutamanya kepada remaja, dan boleh mengganggu perkembangan otak serta fungsi kognitif mereka.

"Penyelidik mendapati nikotin mampu mengubah kimia otak, menjejaskan memori dan tumpuan, selain meningkatkan risiko masalah seperti keresahan, kemurungan dan ketagihan bahan terlarang lain.
"Realitinya, Malaysia sudah menyaksikan insiden serius akibat vape terdapat kes remaja mengalami sawan, kesukaran bernafas, malah kematian yang dikaitkan dengan penggunaan vape berlebihan atau cecair vape tercemar," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama katanya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) turut menegaskan bahawa vape bukan alternatif selamat untuk berhenti merokok, malah penggunaannya memberikan kesan buruk terhadap kesihatan.
"Statistik terkini mengenai kes penyakit berpunca daripada vape mengukuhkan kebimbangan ini. Setakat pertengahan Jun 2023, KKM telah menerima 17 kes kecederaan paru-paru berkaitan vape di seluruh negara.
"Malangnya, negara kita turut mencatat kes kematian pertama akibat vape seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan sejarah tiga tahun menghisap vape meninggal dunia pada 5 Jun 2023 akibat kegagalan jantung akut dalam kes yang diklasifikasikan sebagai E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).
"Dalam insiden berasingan, seorang kanak-kanak berusia dua tahun mengalami keracunan nikotin selepas tertelan cecair vape, mengakibatkan komplikasi saraf yang serius dan berpanjangan.
"Peningkatan kes-kes penyakit dan tragedi sebegini jelas menunjukkan betapa kritikalnya situasi penggunaan vape dalam masyarakat kita," ujarnya lagi.
Menurut Yuneswaran, pakar perubatan juga mengesahkan bahan kimia dalam cecair vape yang dipanaskan boleh merosakkan tisu paru-paru proses tersebut menghasilkan bahan kimia yang mencetuskan keradangan pada lapisan paru-paru.
Katanya, ia sekali gus meningkatkan risiko kecederaan paru-paru dan kajian antarabangsa juga mendapati penggunaan vape meningkatkan risiko penyakit respiratori jangka panjang.
"Sebagai contoh, satu kajian kohort di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini melaporkan risiko penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) meningkat lebih dua kali ganda dalam kalangan pengguna vape berbanding individu yang tidak pernah menggunkan vape," katanya.
Comments