Pertubuhan Generasi KeADILan Malaysia (GKM) baru baru ini mengadakan program ziarah prihatin di Perkampungan Masyarakat Orang Asli Hulu Kelang, Selangor.
Menurut kenyataan Generasi KeADILan, program tersebut dilakukan untuk lebih mengakrabkan masyarakat bandar dan luar bandar.
"Generasi KeADILan Malaysia mengadakan program ziarah prihatin pada 24 Julai lalu di Perkampungan Masyarakat Orang Asli Kampung Kemensah, Hulu Kelang.
"Program itu adalah inisiatif GKM untuk menyatukan masyarakat bandar dan luar bandar," kata Pengarah Program GKM, Hanif Lokmanal Hakim
Katanya, GKM berharap melalui program berkenaan dapat menjalinkan keakraban hubungan antara aktivis pertubuhan itu dengan masyarakat setempat melalui aktiviti turun padang serta mewujudkan semangat reformasi dalam kalangan aktivis GKM.
Turut bersama dalam program berkenaan ialah aktivis masyarakat dan ikon GKM, Azizi Anas dengan NGOnya Azizi Anas Society Group dan HLH Motor Trader.
Comentários