Gencatan senjata Thailand–Kemboja: AMK Gombak puji ketokohan PMX
- Suara Keadilan
- Aug 2
- 1 min read

Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Gombak, Hayee Zailani (gambar) memuji peranan penting Malaysia dalam mewujudkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, yang dimeterai menerusi rundingan serantau di bawah kepimpinan ASEAN.
Beliau menyambut baik perkembangan itu yang disifatkannya sebagai bukti kukuh kepada kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam mengangkat Malaysia sebagai suara berpengaruh di peringkat antarabangsa.
"Kita menyambut baik khabar gembira apabila Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata, dengan Malaysia sebagai pemantau utama atas kapasiti Pengerusi ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Hayee, kemampuan Malaysia menjadi pemudah cara kepada perdamaian serantau adalah hasil daripada kepimpinan PMX yang berpaksikan prinsip, pengalaman, dan kredibiliti diplomatik yang terbukti.
"Kepimpinan PMX jelas tiada tandingan, bukan hanya dihormati di dalam negara, malah menjadi pemudah cara kepada perdamaian serantau. Ini hasil gabungan prinsip teguh, ketokohan konsisten, dan jaringan diplomatik yang dibina selama puluhan tahun," ujarnya.
Beliau turut menyeru generasi muda untuk mengambil iktibar daripada pencapaian tersebut dengan memperkukuh pemahaman tentang makna sebenar kepimpinan.
"Generasi baharu harus menilai semula makna sebenar kepimpinan. Bukan sekadar suara di media sosial, tetapi keupayaan membawa suara negara ke meja rundingan dunia," tegas beliau.
Dalam pada itu, Hayee menyatakan harapan agar lebih ramai pemimpin muda yang berprinsip dan berwawasan dapat dilahirkan bagi meneruskan legasi kepimpinan negara yang dihormati di pentas global.
"Kita mesti lahirkan lebih ramai pemimpin muda berprinsip, berilmu dan bersedia memikul tanggungjawab besar demi masa depan Malaysia dan rantau ini," katanya lagi.
Malaysia kini berperanan sebagai Pengerusi ASEAN dan memainkan peranan aktif dalam menyatukan negara-negara jiran yang terlibat dalam konflik sempadan. Rundingan damai antara Thailand dan Kemboja dilihat sebagai satu kejayaan diplomatik penting bagi rantau Asia Tenggara.
Comments