Gencatan senjata: M'sia sambut baik cadangan 10 perkara Iran kepada AS
- Helmi Mohd Foad

- Apr 8
- 2 min read

Malaysia menyambut baik perkembangan terbaharu konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, susulan persetujuan gencatan senjata sementara yang membuka ruang kepada rundingan damai berasaskan pelan 10 perkara dikemukakan Tehran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif ke arah pemulihan keamanan serantau dan global.
"Cadangan ini memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau berkenaan tetapi juga di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan dimuat naik di media sosial hari ini.
"Diharapkan proses rundingan akan dijalankan dengan penuh keikhlasan, disertai tekad yang kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi di rantau tersebut."
Perkembangan itu berlaku selepas Presiden AS, Donald Trump bersetuju menangguhkan serangan ketenteraan selama dua minggu, hanya beberapa jam sebelum tarikh akhir serangan dilaksanakan.
Bagaimanapun, keputusan itu dibuat dengan syarat utama iaitu Iran perlu membuka semula Selat Hormuz, laluan kritikal yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Trump turut menyifatkan persetujuan tersebut sebagai satu kejayaan besar, malah mendakwa objektif ketenteraan AS telah dicapai.
"Kami telah mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan," menurut kenyataan beliau.
Sebelum ini, Trump dilaporkan mengeluarkan kata dua keras termasuk ancaman untuk menyerang infrastruktur Iran sekiranya Teheran gagal membuka laluan tersebut.
Dalam masa sama, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengesahkan bahawa Teheran bersetuju dengan gencatan senjata bersyarat termasuk membenarkan laluan selamat di Selat Hormuz.
"Untuk tempoh dua minggu, laluan selamat melalui Selat Hormuz akan dibenarkan dengan penyelarasan bersama Angkatan Tentera Iran," katanya.
10 cadangan dikemukakan Iran adalah tiada pencerobohan baharu terhadap republik Islam itu, kawalan berterusan Iran ke atas Selat Hormuz, penerimaan pengayaan, pemansuhan semua sekatan utama serta sekatan sekunder.
Turut dimasukkan dalam pelan damai tersebut ialah pemansuhan semua resolusi Majlis Keselamatan PBB [terhadap Iran], pemansuhan semua resolusi Lembaga Gabenor, pembayaran pampasan kepada Iran, pengunduran pasukan tempur AS dari rantau ini dan pemberhentian perang di semua barisan hadapan termasuk di Lebanon.
Namun laporan media antarabangsa menyebut Israel menolak untuk menghentikan serangan ke atas Lebanon.
Perdana Menteri Anwar menegaskan rundingan damai mesti dilaksanakan secara jujur dan berprinsip.
"Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya prosesnya diselubungi penipuan dan muslihat dua muka," katanya.
Beliau turut menggesa agar pelan 10 perkara itu diterjemahkan menjadi perjanjian damai menyeluruh melibatkan negara lain di rantau konflik termasuk Iraq, Lebanon dan Yaman selain menuntut penamatan penderitaan rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Dalam masa sama, Anwar merakamkan penghargaan kepada Pakistan dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas peranan diplomatik dalam menjayakan gencatan senjata tersebut.
Katanya Malaysia bersedia menyokong segala usaha ke arah keamanan berkekalan serta memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa sekatan kepada mangsa konflik.
"Dunia tidak mampu untuk menerima apa-apa yang kurang daripada keamanan berkekalan," tegas beliau.




Comments