Gencatan senjata: Ketokohan PMX damaikan konflik dalam tempoh singkat
- Suara Keadilan
- Jul 28
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Warga dunia yang cintakan kedamaian serta keamanan pasti menyambut berita ini dengan gembira.
Dua negara iaitu Thailand dan Kemboja petang ini bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuatkuasa pukul 12 malam ini.
Mesyuarat khas untuk membincangkan isu dua negara tersebut berakhir dengan keputusan yang amat melegakan terutama warga negara anggota ASEAN.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), persetujuan itu telah dicapai hasil perbincangan diplomatik yang konstruktif, dan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan serta keselamatan.
Terbukti kemampuan PMX yang juga Pengerusi ASEAN telah berjaya menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang.
Ketokohan PMX mudahkan rundingan
Ketokohan kepimpinan PMX yang disegani serta disanjung tinggi oleh negara-negara ASEAN secara langsung telah memudahkan rundingan antara kedua negara dan menjulang nama Malaysia di pentas dunia.
Terdahulu sebelum mengumumkan berita gembira dalam sidang media bersama, PMX telah hadir mempengerusikan mesyuarat khas mengenai konflik antara Thailand dan Kemboja bersama perwakilan tertinggi kedua dua negara di Putrajaya.
Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja adalah dengan matlamat mencapai gencatan senjata serta menghentikan permusuhan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Mesyuarat itu diusahakan oleh Malaysia menerusi PMX selaku Pengerusi ASEAN, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan memulihkan kestabilan di kawasan sempadan yang terjejas akibat konflik.
Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai tiba di Seri Perdana pada 2.51 petang, diikuti Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tidak lama kemudian.
Pertikaian diplomatik
Kedua-dua negara jiran itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pertikaian sempadan terus memuncak pada Khamis 24 Julai, dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja.
Comments