Gembleng semua kekuatan, kukuhkan jentera, menang PRN Sabah
- Suara Keadilan
- 42 minutes ago
- 2 min read

Kemenangan lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi KEADILAN adalah suatu keutamaan pada wkatu parti itu menjadi peneraju Kerajaan Persekutuan.
Hal itu dinyatakan oleh Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dalam majlis Pelancaran Jentera KEADILAN PRN Sabah di Sabah International Convention Center, Kota Kinabalu, malam tadi.
Menurut Nurul Izzah, seawal Disember tahun lalu beliau telahpun menyebut mengenai kelangsungan yang bermaksud mengiktiraf rakyat dalam menggarap perjuangan.
Katanya, beliau dan para pimpinan KEADILAN Sabah sejak beberapa bulan telah mula bergerak sama ada menyantuni pejuang lama parti, seperti lawatan menghargai otai reformis di Sepanggar, sehinggalah melawat usaha seharian rakyat misalnya penternakan tiram.
Semua itu, katanya, dengan penglibatan kepemimpin tempatan peringkat negeri dan cabang supaya apa sahaja bantuan disampaikan maka mereka akan ingat jasa KEADILAN.
"Kita buat usaha bantu rakyat ternak tiram, tetapi perlu iktiraf cabang ada bersama, pimpinan negeri ada bersama. Kalau ada YB di kawasan maka datang bersama, kibar bendera KEADILAN dengan rakyat setempat.
"Biar rakyat tengok, ada manfaat dibuat KEADILAN. Baru kita kelihatan ada di mana mana," katanya.
Tegas Nurul Izzah, interaksi berterusan dengan rakyat amat penting dan mereka perlu melihat gerak kerja parti kerajaan untuk memperbaiki kehidupan.
Selain itu, beliau juga menyeru agar kepimpinan peringkat negeri, cabang dan ranting diperkuatkan. Semua pihak perlu digembleng untuk menjadi jentera kempen pada waktu pilihanraya.
Termasuklah, katanya, pemimpin dari Semenanjung membantu cabang cabang di Sabah.
"Kita satu pasukan. Jadi semasa rundingan, kempen atau perancangan kita tak boleh kuat kalau KEADILAN tidak kuat.
KEADILAN Sabah tak kuat kalau cabang, ranting tak kuat.
"Yang saya mahu, kita bina kekuatan dan jentera. Hari ini ada banyak pimpinan pusat, negeri (dalam dewan), manfaatkan peluang ini. Bincang bagaimana kerjasama dapat dieratkan, daerah mengundi mana yang perlu fokus
"Saya mengingatkan semua pimpinan datang dari luar Sabah kena cari cabang mana, kawasan mana yang anda perlu bantu kerana keutamaan kita nak menang," ujarnya.
Nurul Izzah dalam ucapan itu turut berpesan agar KEADILAN Sabah lebih sering berinteraksi dengan anak muda khususnya di pusat pengajian tinggi kerana parti perlu mendapatkan sokongan undi 18.
Katanya, generasi muda yang masih bersih dari politik itu perlu dididik menyokong pihak yang terbaik untuk masa hadapan mereka.
"Hari ini kita kena manfaatkan sebaik mungkin (generasi undi 18). Dalam lawatan saya termasuk engagement dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah. Datuk Mustafa (Sakmud) terima kasih kerana terima kehadiran (saya).
"Saya dalam apa pun program di universiti jemput Majlis Pimpinan Negeri bersama. Bukan nak mempolitikkan keadaan. Kita faham 18 tahun ke atas sudah boleh mengundi tetapi tak kan mereka tak boleh menilai.
"Jadi kita nak pastikan mereka tahu agenda yang kita angkat (untuk anak muda)," katanya.
Pesan Nurul Izzah lagi, dengan memberi gambaran perjuangan KEADILAN mengutamakan generasi muda dan cuba menyediakan pekerjaan terbaik buat mereka maka generasi itu akan lebih mudah untuk bersama perjuangan KEADILAN.