
Pembangkang yang melancarkan gerakan Gelombang Hitam pada 19 - 20 Disember ini disifatkan sebagai puak yang kecewa dan tidak boleh move on (melupakan) kekecewaan setelah Pengerusi PN Tan Sri Mahiaddin Yassin gagal menjadi Perdana Menteri.
Aktivis atau influencer Umno Datuk Lokman Noor Adam berkata, kempen itu dijangka tidak akan menjejaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan mengadakan Undi Percaya di Parlimen pada 19 Disember ini.
"PN mengumumkan kempen yang nampaknya macam (mereka) masih lagi tidak boleh menerima keputusan.
"Mereka telah melancarkan kempen gelombang hitam 'tidak percaya'. Ini usaha untuk mengadakan undi tidak percaya ke atas Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.
"Saya rasa tidak perlu bimbang dengan kempen sebegini kerana Kerajaan Perpaduan ini mempunyai 148 kerusi," katanya dalam siaran FB live beliau baru baru ini.
Menyifatkan gabungan Kerajaan Perpaduan sebagai mantap, Lokman berkata, jika ada usaha untuk mengurangkan sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sekali pun, ia tetap tidak akan menggugat majoriti yang akan diperolehi oleh Anwar pada undian tersebut.
"Kalau pun ada geng yang tak puas hati tidak dapat lantikan itu ini, mungkin ianya menyebabkan kita kehilangan beberapa puluh Ahli Parlimen. (Tetapi) tidak sampai ke tahap proses undi percaya yang berlangsung 19 Disember ini (gagal). Jadi tidak perlu bimbang sangat," katanya lagi.