Gelombang haba: Orang ramai dinasihatkan lindungi diri dari risiko kesihatan
- Azuan Ab Rahman

- Mar 29
- 1 min read

Orang ramai dinasihatkan untuk mengehadkan masa di luar bangunan serta mengurangkan aktiviti fizikal luar bagi melindungi diri daripada risiko kesihatan sepanjang musim gelombang haba.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan pada Sabtu turut menggariskan lima lagi panduan, iaitu memastikan tubuh kekal terhidrat dengan meminum air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal.
Penggunaan kipas atau penyaman udara turut untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas, selain orang ramai diingatkan agar tidak duduk di dalam kenderaan yang diparkir serta tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan bagi mengelakkan risiko serius.
"Orang ramai digalakkan memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta menggunakan topi atau payung bagi melindungi diri daripada pendedahan terus kepada sinaran matahari," menurut kenyataan itu.
Menurut KKM, gelombang haba merupakan tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca panas.
"Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut," kata KKM.
Sementara itu, KKM turut menggesa orang awam untuk sentiasa peka dan mengikuti arahan pihak berkuasa dan mendapatkan perkembangan cuaca semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).




Comments