Gelombang 5G di Malaysia cetus masalah kesihatan berita palsu
- Suara Keadilan
- Nov 2, 2023
- 1 min read

Gelombang 5G yang digunakan di Malaysia kononnya melebihi standard antarabangsa sebagaimana tular di media sosial merupakan berita palsu.
Siri segmen anti berita palsu, 'Biar Betul' mendapati video dimuatnaik di Facebook oleh seorang pemilik akaun media sosial kononnya lokasi pemancar gelombang 5G perlu terletak dalam lingkungan 300 meter daripada manusia juga tidak berasas.
"Tular di Facebook kononnya Malaysia negara pertama menggunakan rangkaian 5G dengan frekuensi terlalu tinggi. Menara telekomunikasi pula lokasinya didirikan terlalu dekat dengan kawasan awam seperti sekolah dan taman perumahan. Akibatnya murid dan pelajar serta masyarakat berisiko menghidap kanser.
"Pasukan biar betul mendapati dakwaan tersebut tidak berasas. Di Malaysia rangkaian 5G dengan spektrum 20 gigahertz kekuatan, frekuensi sama turut digunapakai di negara lain seperti Singapura dan Korea Selatan," kata segmen berkenaan.
Menurut pasukan Biar Betul yang mendapat pengesahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) teori yang banyak disebarkan di internet kononnya gelombang 5G sebagai punca masalah kesihatan juga adalah tidak benar sama sekali.
"Menurut SKMM tiada bukti menunjukkan teknologi 5G memudaratkan kesihatan. Pendedahan terhadap medan elektromagnetik frekuensi radio adalah rendah berbanding had ditetapkan piawaian antarabangsa.
"Malah penggunaan teknologi 5G memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," kata segmen itu lagi.
Bình luận