Gelar PM banduan, kenyataan Hj Hadi penuh hasad?
- Suara Keadilan
- Oct 21, 2023
- 2 min read

Ungkapan Presiden Pas Hj Hadi Awang yang menyindir di dalam Kerajaan Perpaduan terdapat bekas banduan, perasuah dan sebagainya bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bersifat hasad.
Menurut kenyataan AMK hari ini, sifat sedemikian tidak seharusnya wujud bagi seorang pemuka agama seperti Hj Hadi dan barisan ustaz dalam Pas.
"Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang baru-baru ini muncul dengan kenyataan cenderung bersifat hasad yang merendahkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang dipimpin banduan, dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini bukan kali pertama Haji Hadi menyerang Perdana Menteri dengan gelaran demikian. Malah ia sejak bertahun lalu menjadi antara label yang paling digemari oleh beliau untuk digunakan ke atas PM.
"Di saat kita tahu PM sendiri tidak pun terkesan dengan serangan Hj Hadi tersebut, timbul tanda tanya apa yang sebenarnya yang cuba dicapai oleh beliau dengan menggunakan gelar banduan ke atas seseorang dengan tujuan merendah-rendahkan mereka," kata AMK dalam kenyataannya.
Dalam pada itu AMK mengingatkan, bukan semua yang masuk penjara adalah penjenayah tetapi dalam sejarah Islam tokoh ilmuan dan malah imam mazhab juga pernah dipenjarakan oleh pemerintah yang zalim.
"Dalam sejarah Islam sendiri, Imam Empat Mazhab; Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad Hanbal, dan Imam Syafi’e - kesemuanya pernah dipenjara seraya menjadikan mereka turut dalam waktu dan ketikanya memakai gelar ‘banduan’.
"Begitu juga dengan tokoh-tokoh besar dunia Islam; tidak sedikit yang memakai gelar banduan dalam hidup mereka. Sayyid Qutb, Buya Hamka, Mohamed Morsi, Rashid Ghannushi antara ramai yang kita ketahui juga pernah dan adalah penghuni penjara.
"Malah, baru 13 September yang lepas, Hj Hadi sendiri membayangkan bahawa pemenjaraan ke atas dirinya adalah lebih baik berbanding membayar denda. Ertinya beliau sendiri sedia untuk memakai gelar banduan, maka apa masalahnya dengan Datuk Seri Anwar sebagai bekas banduan?" tanya AMK.
Justeru, AMK menasihatkan Hj Hadi bahawa semua ketentuan Allah di dalam perjalanan panjang sebagai pejuang perlu diterima dan masyarakat tidak boleh melabel dengan penghinaan.
Kata AMK, sudah ditakdirkan bahawa PM Malaysia hari ini diuji perjuangannya dengan pemenjaraan yang pernah satu ketika dahulu turut dibela oleh Pas.
Oleh itu, amat tidak wajar ungkapan Hj Hadi dalam sidnag media semalam yang menyinggung kehormatan PM Anwar.
"Sudah tertulis PM kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmah dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara. Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan.
"Sebagai seseorang yang hari ini memakai gelar ‘ulama dan pendakwah’; merendah-rendahkan takdir dan nasib seseorang, apa lagi yang diketahui sendiri olehnya sebagai orang yang dizalimi dan pernah beliau sendiri bela, Haji Hadi perlu bermuhasabah dan menekuni dengan semulia hati, bukan dengan penuh nafsu politik disulami tutur penuh hasad dan dengki.
"Bukan itu sifat orang alim dalam jalan dakwah," kata AMK lagi.
Sayap pemuda itu berkata, Hj Hadi seharusnya menjaga tutur kata dan hal itu tidak akan mengurangkan sokongan ke atas beliau berbanding mencerca dan hina ke atas lawan politik.
Menurut AMK, andainya Hj Hadi terus menerus merendahkan lawannya maka jangan pula marah apabila masyarakat makin ramai mempertikai apakah benar Hj Hadi seorang ulama, sebagaimana yang digambarkan oleh pendukung Pas.
Comments