top of page

Gelagat Gambar Bersama PMX di Sebalik Isu Peruntukan Parlimen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 3 min read
Sesiapa sahaja boleh bergambar bersama PM dan hal itu tidak perlu menjadi kontroversi. Foto FB Anwar
Sesiapa sahaja boleh bergambar bersama PM dan hal itu tidak perlu menjadi kontroversi. Foto FB Anwar

Oleh: Lai Chen Heng


ULASAN: Baru-baru ini, timbul satu gambar kontroversi Perdana Menteri dilihat bergambar bersama seorang individu berprofil tinggi. Apa yang lebih menyedihkan, isu ini dikecam oleh Ahli Parlimen daripada blok kerajaan (dari parti) sendiri.


Kebetulan pula, isu berkenaan diuar-warkan secara bertubi-tubi oleh dua Ahli Parlimen yang baru-baru ini disekat peruntukan mereka. Saya melihat dari sudut yang lebih subjektif, bahawa Perdana Menteri sering didampingi oleh pelbagai lapisan masyarakat yang ingin merakamkan kenangan, tanpa beliau mengenali latar belakang setiap daripada mereka.


Kebetulan, gelagat mereka mengecam Perdana Menteri secara langsung dikaitkan dengan peruntukkan mereka yang disekat. Adalah wajar isu peruntukan Parlimen ini dikupas dengan teliti agar masyarakat tidak terus terkeliru.


Mitos "Peruntukan dari YB" berbanding "Peruntukkan YB dari Kerajaan"


Selama bertahun-tahun, budaya politik tanah air dibayangi tanggapan bahawa wakil rakyat membawa masuk dana ke kawasan atas kehebatan peribadi mereka. Hakikatnya, Ahli Parlimen bukanlah pemilik mutlak dana tersebut. Mereka hanyalah pengurus atau pemegang amanah kepada wang Persekutuan yang dikutip daripada hasil cukai rakyat.


Apabila sesebuah kawasan dinafikan peruntukan langsung, ia dicanang seolah-olah rakyat teraniaya. Padahal, naratif ini sengaja mengaburkan saluran rasmi yang jauh lebih telus menerusi agensi kerajaan seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri.


Dunia belum kiamat untuk Subang, Petaling Jaya


Apabila akses peruntukan disekat, reaksi yang dipamerkan seolah-olah dunia sudah kiamat kerana dana itu terlepas daripada kawalan peribadi pejabat khidmat mereka.


Situasi ini jelas terbukti apabila permohonan peruntukan Ahli Parlimen Subang dan Petaling Jaya mengalami sekatan pada portal MyKhas susulan peralihan pendirian politik mereka. Namun, kerajaan menegaskan bahawa kebajikan rakyat di kawasan terbabit tidak pernah terabai kerana peruntukan tetap disalurkan secara teratur menerusi agensi dan penyelaras rasmi.


Saya meneliti dan mendapat rumusan dari laporan media massa. Kesimpulan mudahnya ialah jika peruntukan disekat kerana pendirian politik bertentangan dengan Perdana Menteri, mereka yang sudah tidak sehaluan ini wajar diletakkan pada tempat sepatutnya dan dilayan sebagai pembangkang.


Anda tidak boleh menuntut keistimewaan dana langsung kerajaan jika dasar anda secara terbuka menentang hala tuju pentadbiran sedia ada. Reaksi dramatik ini sebenarnya mencerminkan kegusaran pihak tertentu yang kehilangan kuasa mutlak mengawal dana awam demi kepentingan pengaruh politik peribadi.


Profesionalisme dan tugas hakiki wakil rakyat


Profesionalisme sejati menuntut agar fokus wakil rakyat dikembalikan kepada kerja-kerja perundangan di Dewan Rakyat. Untuk menjalankan penyelidikan (research) dan merangka draf polisi, seseorang Ahli Parlimen sama sekali tidak memerlukan gimik turun padang mengagihkan dana kepada persatuan.


Malangnya, polemik ini turut dicemari kecaman melulu terhadap Perdana Menteri susulan isu gambar berprofil tinggi tadi. Serangan retorik murahan ini jelas membuktikan bahawa segelintir politikus lebih ghairah menjaga kesinambungan politik peribadi berbanding mengangkat martabat perbahasan dasar negara.


Keadilan sistem di bawah Malaysia Madani


Sistem peruntukan di bawah gagasan Malaysia Madani terbukti adil dan berpaksikan integriti. Sukar diterima akal apabila wakil rakyat menggunakan dana negara untuk melaksanakan projek, tetapi yang diagungkan adalah publisiti imej peribadi tanpa pernah menonjolkan logo atau identiti Malaysia Madani sebagai simbol usaha kolektif kerajaan pusat. Dalam sesetengah kes, ada juga mereka wakil rakyat yang sengaja menggunakan kombinasi warna yang bukan berpaksi kerajaan dalam ucapan perayaan.


Wang rakyat tidak wajar dijadikan alat publisiti murahan untuk membina imej 'hero' individu.


Fungsi hakiki wakil rakyat mesti dikembalikan sebagai penggubal undang-undang (lawmaker) dan penggubal dasar (policy maker). Mandat besar rakyat ini wajib dipandu oleh kepentingan nasional, bukannya diseret ke lembah sandiwara politik sempit.


Di Parlimen, isu agihan dana sering dijadikan peluru politik. Tidakkah lebih matang sekiranya mekanisme permohonan dibuka kepada semua wakil rakyat tanpa terkecuali, manakala agensi profesional seperti ICU JPM membuat pertimbangan telus berdasarkan merit?


Jika peruntukan khusus mahu diberikan kepada wakil rakyat, dana itu wajar disalurkan untuk menubuhkan pejabat penyelidikan (research office) di Parlimen. Langkah ini membantu mereka membahaskan dasar secara bernas selari dengan peranan utama sebagai lawmaker, bukannya menghabiskan masa menatang cek replika (mock-up cheque) demi publisiti media sosial. Khidmat masyarakat juga wajar dijalankan, tetapi bukan peranan utama mereka wakil rakyat.


Alih landskap politik negara


Alangkah idealnya jika landskap demokrasi kita diwarnai oleh wakil rakyat yang membentangkan hasil kajian dan cadangan polisi sebagai laporan prestasi, bukannya gimik turun padang bermusim menjelang pilihanraya.


Sudah masanya landskap politik negara beralih daripada budaya naungan (patronage politics) kepada perkhidmatan telus di bawah kerangka Malaysia Madani. Wakil rakyat harus kembali menjiwai peranan agung mereka di Parlimen dengan penuh profesionalisme, manakala rakyat dididik menilai pemimpin berdasarkan kualiti polisi, sementara pembangunan fizikal diuruskan secara sistematik oleh agensi seperti ICU JPM.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page