Gejala sugar babby: Kaji punca sebenar, jangan salahkan mahasiswa sahaja - Nurin Aina



Gejala sugar daddy dan sugar babby perlu dikaji sehingga ke akar umbi bagi menentukan penyebab sebenar berlakunya hal itu.


Ahli Parlimen Merbok, Nurin Aina berkata, kesalahan tidak wajar hanya diletakkan kepada mahasiswa yang kesempitan hidup dan cuba mencari wang tambahan dengan melakukan maksiat bersama sugar daddy.


Sedangkan punca hal itu berlaku gagal tidak diselidiki secara tuntas.


"Umum seolah-olah meletakkan kesalahan pada sugar baby sahaja walhal sugar daddy yang rata-ratanya profesional, lebih dewasa dari segi usia, lebih waras dari segi akalnya, lebih pengalaman kerana telah berkeluarga mempunyai isteri dan anak-anak, mengapa mereka memilih 'teman sosial' yang adakalanya layak dipanggil anak atau adik, yang matlamat akhirnya tidak jelas dan menjahanamkan?


"Kajian atau penyelidikan terperinci mesti dilakukan dengan segera untuk mencari punca sebenar (root cause), faktor-faktor yang mendesak agar kita temui strategi yang tepat untuk menangani isu ini.


"Bukan hanya dengan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, yang dilihat pendekatan populis atau hanya melepaskan batuk di tangga sahaja.


"Mahasiswa dan mahasiswi seluruh negara adalah anak-anak kita dan mereka merupakan masa depan negara. Usia mereka melambangkan kedewasaan maka pendekatan haruslah seperti persahabatan bukan keanak-anakkan. Kementeriaan mestilah serius mencari solusi dan segera kembali fokus kepada menjaga kebajikan pelajar universiti," kata Nurin dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Pembantu Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu lagi, kerajaan tidak harus menyembunyikan orang-orang berkuasa yang mencetuskan permintaan kepada gejala maksiat tersebut.


Katanya, tindakan keras wajar dikenakan kepada sugar daddy yang menjadi pemangsa, tidak mengira pangkat atau kedudukan mereka.


"Isu ini dilihat seseolah disembunyikan bagi melindungi orang-orang yang berkuasa dari sudut kewangan, kedudukan atau pangkat. Tiga kriteria inilah yang menjadi senjata utama sugar daddy mendapatkan sugar baby.


"Kewangan kukuh seseorang sugar daddy lazimnya mampu mengaburi. Kedudukan sugar daddy yang tinggi sama ada dalam hierarki masyarakat atau organisasi juga melindungi kebejatan mereka seolah-olah ianya suatu kekebalan. Manakala pangkat seseorang sugar daddy pula menjadi perisai daripada sebarang pendedahan dan pembongkaran," katanya lagi.


Isu sugar daddy dan sugar babby tular sejak beberapa hari lalu berikutan penangkapan pengasas perkhidmatan Sugarbook, ruang pertemuan sosial golongan berkenaan di Malaysia.


Sejak itu, netizen meluahkan kekesalan kerana kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai ulama-ulama besar dari Pas gagal melakukan tindakan segera membasmi isu maksiat tersebut yang merosakkan mahasiswa di institusi pengajian tinggi tempatan.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio