top of page

Gejala sosial: Pendidikan seks wajar diperkenal peringkat sekolah rendah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 12
  • 2 min read


Oleh: Akmal Manaf


Pendidikan seks dan moral wajar diperkenalkan seawal peringkat sekolah rendah sebagai langkah alternatif menangani gejala zina dan kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja serta kanak-kanak.


Pandangan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil yang menyifatkan pelajar adalah permata negara.


Malah ujarnya, pembinaan modal insan untuk masa depan negara bukan sahaja pada intelektual dan jasmani, tetapi perlu diseimbangkan dengan moral, akhlak dan rohani selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


''Justeru, kita terutama orang Melayu perlu berfikiran terbuka untuk menerima cadangan keperluan pendidikan seks di peringkat sekolah rendah lagi.


''Pendidikan moral perlu ditambahbaik termasuk memasukkan silibus seks bagi memberikan ilmu dan pendedahan awal tentang hukum agama, undang-undang dan kesan kehidupan akibat perbuatan jenayah termasuk seks.


''Sudah pasti akan ada kumpulan yang akan mengkritik dan menentang cadangan ini atas nama agama, tetapi hamil luar nikah juga bertentangan dengan agama dan menambah masalah sosial kepada orang Melayu, maka hamil luar nikah perlu dikekang segera,'' katanya menerusi satu kenyataan.


Menurut Faiz lagi, kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja terutamanya Melayu adalah satu masalah serius yang perlu ditangani segera.


''Apabila kes jenayah ini berlaku di Kelantan yang kita tahu kehidupan agama yang diterapkan, maka suatu kepelikan dan kejutan terus berlegar dalam fikiran kita, kenapa ia berlaku di Kelantan?

''Kerajaan Kelantan tidak boleh mendabik dada mengatakan pelaksanaan ‘Islam’ sudah cukup sedangkan masalah moral dan jenayah semakin berleluasa.


''Ini bermakna, silibus pendidikan di institusi formal atau tidak formal di Kelantan tidak lengkap.


''Oleh itu, tiba masa kita berfikiran lebih terbuka dan menolak pemikiran sempit kononnya pendidikan seks satu tindakan golongan liberal,'' tegas beliau lagi.


Menelusuri kes hamil remaja di Kelantan itu, Faiz yang juga seorang peguam berkata, seksyen 113 Akta Keterangan 1950 memperuntukkan satu anggapan bahawa tiada kesalahan jenayah rogol bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah.


Memandangkan remaja wanita tersebut berumur 15 tahun, maka katanya, seksyen 376 Kanun Keseksaan meletakkan ia satu kesalahan rogol (statutory rape).


''Namun, oleh kerana pelaku berumur 11 tahun, maka pendakwaan tidak boleh diasaskan, jika diteruskan juga, maka kanak-kanak tersebut boleh dibebaskan atas pembelaan statut ini,'' ujarnya lagi.


Terdahulu, polis Kelantan mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun telah menghamilkan sepupunya yang berusia 15 tahun dipercayai atas dasar cinta bawah umur.


Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku minggu lalu itu menyebabkan kanak-kanak lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan, manakala sepupunya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Comentários


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page