Gejala judi haram dan kedai judi tidak berlesen yang semakin 'membiak' di Sarawak amat tidak sihat kepada kelangsungan masyarakat dan kerajaan.
Bagi Pegawai Khas Menteri Dalam Negeri untuk Wilayah Sabah dan Sarawak, Tay Wei Wei @ Naga Libau, gejala tersebut seharusnya dibanteras kerana operator judi haram dilihat semakin berani menyewa premis seolah olah memiliki lesen sah untuk menjalankan aktiviti.
"Saya mendapat banyak aduan dari orang ramai berkaitan isu kedai judi haram 4 nombor ekor dan judi internet di Sarawak.
"Kedai judi haram tumbuh seperti 'cendawan selepas hujan', malah sindiket judi haram bukan saja membuka kedai judi di bandar tetapi sehingga ke luar bandar.
"Jika dahulu sindiket jual tiket haram ini menjalankan perniagaan secara sembunyi, sekarang mereka berani buka kedai dan buka kaunter menjual tiket 4 nombor ekor tanpa takut pihak berkuasa.
"Kedai mereka bukan sekadar menjual minuman, ada yang bagi makan mee segera secara percuma untuk pelanggan. Banyak kaunter pula buka 24 jam untuk memudahkan pelanggan datang mengisi duit ke dalam akaun judi dalam telefon bimbit mereka," kata Tay Wei Wei dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Tay yang juga Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak mahu agensi Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan bertindak membasmi aktiviti perjuadian haram dengan menyita premis yang terlibat.
"Saya menggesa pihak berkuasa seperti polis dan majlis tempatan, agar menguatkan kerja membasmi gejala tersebut secara tegas dan besar besaran di seluruh Sarawak.
"Berapa juta dan bilion ringgit kerajaan hilang tiap bulan kerana sindiket ini? Yang kaya hanya segelintir tauke tauke di belakang peniagaan hitam ini sahaja," katanya lagi.
Beliau berharap pihak penguat kuasa akan bertindak tegas dan menjadi benteng negara membantu Perdana Menteri menghapuskan ketirisan dan rasuah yang berlaku berhubung operasi operator perjudian haram tersebut.
コメント