'Gas memasak subsidi untuk kegunaan rumah, peniagaan kecil'
- Suara Keadilan
- May 31
- 2 min read
Updated: Jun 1

Oleh: Akmal Manaf
Usaha kerajaan untuk menguatkuasakan had penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi kepada golongan sasar seperti kegunaan rumah (domestik), peniaga kecil serta penjaja adalah sesuatu yang wajar.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak menegaskan, subsidi kerajaan bukan untuk disalahguna oleh pihak yang mencari keuntungan menggunakan LPG subsidi melebihi hadnya.
Katanya, subsidi LPG yang mencecah RM3.4 bilion pada tahun lalu menunjukkan betapa besar beban kewangan ditanggung kerajaan dan perlunya penguatkuasaan bagi memastikan LPG tersebut hanya digunakan untuk isi rumah.

"Kalau peniaga guna LPG bersubsidi untuk jana keuntungan, itu tidak adil kepada rakyat biasa yang guna gas untuk keperluan asas.
"Kita perlu bersikap adil. Oleh itu usaha untuk menyelaraskan penggunaan subsidi kepada sasaran sebenar adalah wajar dan ianya perlu diteruskan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai subsidi LPG yang hanya dikhaskan untuk kegunaan rumah dan bukannya komersial.
Ditanya mengenai dakyah pemimpin pembangkang bahawa Malaysia negara pengeluar gas tetapi mengapa rakyat dibebankan dengan harga gas tinggi, kata Haziq, ketetapan peniaga hanya boleh menggunakan atau menyimpan tiga tong LPG 14kg bersubsidi dibuat pada 2021, sewaktu Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah.
Tidak wajar, katanya, pembangkang pada waktu ini mempersoalkan Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan (pindaan) 2021 yang telah pun berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 ketika PN memerintah. Kritikan itu, kata beliau, seolah olah sengaja mahu mengelirukan rakyat.
Katanya, politik murahan bagi mengaburi kebenaran seperti itu tidak boleh dibiarkan.
Untuk rekod, pembangkang mula memainkan isu gas memasak bersubsidi apabila pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan penguatkuasaan Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) bermula 1 Mei - 31 Oktober 2025.
Penguat kuasa KPDN memeriksa dan memberi amaran kepada sesiapa yang menggunakan gas LPG bersubsidi secara melebihi had. Peniaga kecil dibenarkan menggunakan gas bersubsidi tetapi penggunaan LPG 14 kilogram melebihi tiga tong perlu memohon permit barangan kawalan.
Hal itu menyebabkan banyak pihak memainkan isu kononnya kerajaan telah memotong subsidi gas memasak dan memperkenalkan peraturan baharu.
Comments