Pembangkang tidak faham isu, mahu beri subsidi kepada peniaga kaya?
- Suara Keadilan
- Jun 14
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan dikeluarkan Pemuda Pas Selangor berhubung isu subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) menimbulkan persoalan terhadap tahap kefahaman mereka mengenai dasar subsidi negara atau kemungkinan menjadi pembela kepada kelompok elit yang selama ini menikmati subsidi secara tidak adil.
Itu reaksi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Shahrul Adnan susulan kenyataan sayap pemuda parti pembangkang berkenaan yang mendesak agar subsidi tong gas LPG dikembalikan sepenuhnya, tanpa memahami dasar subsidi bersasar yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Sehubungan itu, Shahrul menyeru Pemuda Pas Selangor agar berhenti menjadi ejen propaganda golongan elit, sebaliknya menyokong dasar yang membela rakyat terbanyak.
"Jangan terus menipu rakyat dengan retorik populis yang tidak berpijak pada realiti dunia sebenar
"Kenyataan Pemuda Pas Selangor jelas membuktikan dua kemungkinan, sama ada mereka jahil terhadap fakta sebenar dasar subsidi, atau mereka kini menjadi pembela kepada kelompok elit yang selama ini menikmati subsidi secara tidak adil.
"Persoalannya, siapa sebenarnya yang mereka perjuangkan? Rakyat marhaen atau golongan mahakaya?," soal beliau dalam satu kenyataan.
Ujar beliau lagi, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited melaksanakan reformasi fiskal demi memastikan keadilan sosial dicapai.
Katanya, subsidi bersasar adalah dasar yang progresif dan bertanggungjawab, sekali gus menjamin bahawa bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
"Subsidi LPG masih disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti isi rumah B40 dan peniaga kecil.
"Yang dihentikan adalah subsidi kepada syarikat besar, restoran mewah, industri perkilangan dan golongan mahakaya yang sebelum ini turut menumpang subsidi rakyat marhaen," jelas beliau lagi.
Untuk rekod, pembangkang PN memainkan isu seolah olah Kerajaan Madani telah menghentikan subsidi ke atas gas memasak dan penguatkuasaan sedang dilakukan melalui OPS GASAK 2025 untuk mengambil tindakan ke atas peniaga kecil yang menyimpan atau menggunakan gas memasak subsidi lebih 42kg atau tiga tong.
Sedangkan dasar mengehadkan tiga tong tersebut dipinda pada era Kerajaan Perikatan Nasional memerintah pada 2021 lalu. Oleh itu, sebagai kompromi, Kerajaan Madani mengumumkan kajian dan pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) yang akan dibentang pada sesi Dewan Rakyat akan datang bagi melindungi peniaga kecil dan sederhana yang menggunakan gas bersubsidi.
Comments