Kolokium Mahabbah Silang Budaya YADIM: Perpaduan teras Malaysia MADANI
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 1 min read

Perpaduan nasional perlu difahami secara lebih mendalam oleh umat Islam di Malaysia, bukan sekadar melalui toleransi tetapi melalui kerjasama aktif dan interaksi yang sihat antara masyarakat berbilang kaum.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah YADIM Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim, ketika merasmikan Kolokium Mahabbah Silang Budaya YADIM sempena Program Dakwah Negara 2025.
"Umat Islam di Malaysia perlu memahami bahawa perpaduan bukan hanya berkaitan toleransi, tetapi juga melibatkan kerjasama aktif, saling berinteraksi, saling membantu, serta punya rasa pengertian dan penghargaan terhadap perbezaan yang ada, selari dengan Gagasan Malaysia Madani," katanya.
Zairudin berkata, kekuatan perpaduan rakyat adalah asas kukuh untuk Malaysia mencapai kemajuan berterusan, lebih-lebih lagi dengan kepelbagaian budaya yang menjadi ciri unik negara ini.
"Hal ini seiring dengan hasrat Malaysia MADANI yang diinspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita menyahut seruan itu untuk membina kefahaman yang lebih baik ke arah Malaysia yang bersatu padu dan gemilang."
Beliau turut mengimbau kejayaan Rasulullah SAW dalam menyatupadukan warga Madinah, menjadikan masyarakat itu model kepelbagaian yang harmoni melalui tadbir urus berintegriti, nilai akhlak dan pengiktirafan terhadap perbezaan.
Program bertema “Pendekatan Kontemporari Dalam Dakwah Masyarakat Majmuk” itu dianjurkan bersama Global UNITY Network di Plaza Pekeliling, Kuala Lumpur, dan turut menampilkan sesi pengisian oleh Shah Kirit Kakulal Govindji, Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2012.
Kolokium berkenaan menjadi platform penting bagi memperkukuh kefahaman antara budaya, sekali gus menyokong usaha memperkasa perpaduan dalam kerangka Malaysia MADANI.





