Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sedih menerima perkhabaran seorang petugas terkorban akibat kebocoran gas dalam ambulans
Menurut Aminuddin kejadian yang berlaku ke atas petugas di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok itu merupakan satu tragedi.
"Saya mendoakan semoga keluarga mangsa tabah dan diberi kekuatan menghadapi ujian yang maha berat ini," ujar beliau dalam catatan di Facebook.
Sebelum ini, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Veerapan Superamaniam, dalam kenyataan berkata, tiga lelaki turut tidak sedarkan diri akibat kebocoran tersebut.
Aminuddin turut mendoakan agar mangsa-mangsa lain yang cedera akibat insiden tersebut segera sembuh dan pulih seperti sediakala.
"Sungguh, jasa para petugas kesihatan amatlah besar terutamanya dalam situasi ‘peperangan’ Covid-19 ini.
"Sama-samalah kita membantu mereka dengan cara mematuhi SOP sebaik mungkin bagi menghentikan penyebaran wabak ini," katanya lagi.
Dalam kejadian semalam, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan diketuai Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kematian petugas kesihatan terbabit dan tiga lagi tidak sedarkan diri ketika di dalam ambulans.
Beliau berkata, kejadian masih dalam siasatan, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kebocoran gas karbon monoksida di dalam ambulans.
Comments