top of page

Garis panduan: Sokong pendekatan inklusif isu hiasan perayaan - AMK Melaka

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read
ree

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka mengambil maklum isu berhubung garis panduan hiasan perayaan Hari Natal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri Melaka baru-baru ini, sambil menyokong penjelasan Kerajaan Persekutuan bahawa tiada larangan menyeluruh terhadap amalan tersebut.


Ketua AMK Melaka, Hakimin Mokhtar (gambar) berkata, pihaknya menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, yang menegaskan bahawa penggunaan hiasan perayaan agama lain di premis bersijil halal adalah dibenarkan selagi tidak menjejaskan prinsip halal serta mematuhi garis panduan sedia ada.


"Kami menyokong penjelasan dan kenyataan YB Senator Dr Zulkifli Hasan, Menteri di jabatan perdana menteri yang menegaskan bahawa tiada larangan menyeluruh terhadap penggunaan hiasan perayaan agama lain di premis bersijil halal, selagi ia tidak menjejaskan prinsip halal serta mematuhi garis panduan sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, AMK Melaka menghormati peranan institusi agama dalam memelihara prinsip dan sensitiviti umat Islam, namun berpandangan pendekatan yang lebih inklusif perlu dipertimbangkan selari dengan realiti masyarakat majmuk di Malaysia.


"Walaupun menghormati peranan institusi agama dalam menjaga prinsip dan sensitiviti umat Islam, kami berpandangan bahawa pendekatan yang lebih inklusif wajar dipertimbangkan selari dengan realiti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," ujarnya.


Hakimin menegaskan bahawa Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, dan keharmonian tersebut merupakan kekuatan utama negara sejak sekian lama.


Dalam konteks Melaka sebagai destinasi pelancongan utama, beliau berkata pendekatan yang meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan mampu memperkukuh imej negeri itu sebagai destinasi yang mesra, terbuka dan harmoni.


"Pendekatan yang meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan diyakini dapat menyumbang kepada imej Melaka sebagai sebuah negeri yang mesra, terbuka dan harmoni, selari dengan aspirasi pelancongan negeri dan negara," katanya.


Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Rahmad Mariman berkata, larangan hiasan perayaan agama itu selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Menurutnya, semua premis dan produk yang dipersijilkan halal tertakluk sepenuhnya kepada garis panduan berkenaan, termasuk aspek penggunaan dekorasi, pengiklanan serta perkhidmatan berbentuk keagamaan.


"Bagi tujuan menjaga sensitiviti semua pihak yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, apa sahaja paparan dekorasi atau simbol yang berkaitan dengan perayaan keagamaan adalah tidak dibenarkan di dapur serta ruang utama restoran yang bersijil halal.


"Ini bertujuan bagi menjaga kejelasan status halal serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna," katanya dipetik Kosmo!.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page