Garis panduan baharu RIBI bakal dibentang ke Jemaah Menteri
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 1 min read

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan isu pembangunan dan penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal dengan berkesan.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar) berkata, sebanyak 65 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PBT dan 124 tindakan penguatkuasaan diambil, merangkumi notis amaran, kompaun, diarahkan berpindah dan dirobohkan pada tahun lepas.
Selain itu menurutnya, KPKT menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) juga telah menyediakan Draf Garis Panduan Perancangan (GPP) Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
Draf bertujuan menggantikan Garis Panduan Perancangan Tokong, Kuil, Gereja dan Gurdwara yang diguna pakai sejak 2009 itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan.
"Peranan KPKT hanya terhad kepada menimbang dan melulus permohonan bantuan kewangan bagi Inisiatif Penyelenggaraan RIBI Seluruh Negara berdasarkan syarat kelayakan ditetapkan dalam Garis Panduan Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam Seluruh Negara," katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPKT di Dewan Negara pada Isnin.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah memaklumkan kerajaan akan melaksana penetapan harga rumah mampu milik (RMM) dalam konteks yang lebih setempat, di mana harga ditentukan berdasarkan ciri lokaliti masing-masing, tahap permintaan pasaran serta kemampuan penduduk setempat.
Pendekatan itu bertujuan memastikan penyediaan perumahan yang ditawarkan benar-benar selari dengan keperluan dan keupayaan kewangan rakyat di kawasan berkenaan, termasuk di bandar-bandar utama selaras dengan Dasar Rumah Negara yang baharu.
