Cadangan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin mengesyorkan anak syarikat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi lesen untuk menggantikan tiang lampu sedia ada kepada tiang lampu pintar dianggap praktikal.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengalu alukan syor berkenaan dan berharap peranan orang tengah yang menyebabkan harga tiang lampu melambung dihapuskan.
"Kalau bukan ‘orang tengah’ tapi anak syarikat DBKL yang buat maka kos boleh dikurangkan dari RM153,000 (harga tender syarikat Ennova) ke RM80,000 atau lebih rendah satu tiang
"DBKL juga boleh sewa tiang lampu pintar ini terus kepada mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) yang berminat (memasang alat pemancar) dan DBKL kutip sewa terus dari telco," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN membandingkan harga sewaan dari syarikat telekomunikasi sebelum ini untuk meletak peralatan komunikasi di tiang lampu DBKL sekitar RM850 akan meningkat kepada RM1,200 - RM1,500 sebulan sebagaimana yang dikutip oleh pihak berkuasa tempatan di Selangor.
Selain itu, katanya jika DBKL berurusan secara langsung dengan telco maka tiada kos sampingan yang akan ditanggung oleh mereka.
"Bila DBKL sewa tiang-tiang kepada telco pada kos lebih rendah berbanding ‘orang tengah’, kos laksana 5G pun jadi lebih rendah - ini baik untuk rakyat," katanya.
Oleh itu, Fahmi menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa untuk segera mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengeluarkan lesen Network Facilities Provider (NFP) baharu kepada anak syarikat DBKL.
"Saya percaya langkah ini, jika dilaksana dengan berkesan, akan dapat bantu DBKL, warga Kuala Lumpur, dan semua pengguna telco khususnya yang berada di KL," katanya lagi.
Comments