Gangguan seksual: KESUMA perlu wujudkan sistem aduan lebih mesra mangsa
- Suara Keadilan

- Jul 30, 2025
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung (gambar) menyatakan kekesalannya terhadap insiden gangguan seksual di sebuah kilang elektronik di Batu Berendam, Melaka, sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas serta memperkenalkan mekanisme aduan yang lebih selamat dan mesra mangsa.
Beliau berkata pihaknya telah menerima aduan daripada Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia (KSIEWSSM) berhubung dakwaan seorang pekerja wanita diganggu secara fizikal oleh pengurus di jabatan tempatnya bekerja.
"Mangsa mendakwa beliau telah disentuh, dipeluk tanpa kebenaran malah ditarik tali bra oleh suspek. Namun apabila aduan rasmi dikemukakan kepada bahagian sumber manusia (HR) tindakan yang dikenakan hanyalah sekadar ‘amaran terakhir’ kepada pelaku," kata Chean Chung dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila mangsa telah diarahkan berpindah ke jabatan lain - satu tindakan yang disifatkan sebagai diskriminasi terang-terangan terhadap mangsa dan mencerminkan kelemahan serius dalam perlindungan hak pekerja.
Jelasnya, mangsa telah mengambil pelbagai langkah susulan termasuk memfailkan aduan ke Jabatan Tenaga Kerja, membuat laporan polis serta membawa kes ke Tribunal Anti-Gangguan Seksual di bawah Akta Gangguan Seksual 2022.
Dalam hal ini, beliau menegaskan kerajaan memandang serius isu gangguan seksual di tempat kerja dan menyifatkan perlindungan hak serta maruah pekerja sebagai tanggungjawab bersama yang perlu ditegakkan tanpa kompromi.
Merujuk kepada data rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Chean Chung mendedahkan bahawa kes gangguan seksual di negara ini meningkat kepada 666 kes sepanjang 2024 (sehingga Oktober) berbanding 529 kes pada 2023.
"Ini jelas menunjukkan bahawa masalah gangguan seksual masih berleluasa dan memerlukan pendekatan yang lebih sistemik, tegas dan berkesan," tegas beliau.
Sebagai langkah reformasi, beliau mencadangkan agar kerajaan membangunkan satu sistem aduan secara anonim contohnya aplikasi mudah alih rasmi dengan fungsi “peti surat balas”.
Kata beliau sistem itu membolehkan pengadu menyemak status siasatan dan berkomunikasi dengan pihak berkuasa tanpa perlu mendedahkan identiti kecuali atas kerelaan sendiri.
"Inisiatif ini akan membantu ramai mangsa dan saksi yang masih takut untuk tampil membuat laporan kerana bimbang akan tindakan balas," katanya lagi.
Beliau memaklumkan pihaknya bersama KSIEWSSM akan menghantar surat rasmi kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mencadangkan pembangunan sistem aduan tersebut dan telah bertemu dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja serta Wakil Menteri Sumber Manusia bagi membincangkan isu ini secara terperinci.
"Saya percaya tindakan susulan yang lebih ketat akan diambil selepas ini dan saya menyeru agar Kementerian Sumber Manusia khususnya Jabatan Tenaga Kerja agar mengambil aduan ini dengan penuh tanggungjawab.
"Sekiranya dakwaan ini dibuktikan benar, kita mesti memberi keadilan kepada mangsa dan menghantar mesej yang jelas kepada semua pihak bahawa pelanggaran terhadap maruah serta hak pekerja tidak akan dikompromi," kata beliau lagi.









Comments