
Gangguan kualiti perkhidmatan selular terutama di daerah pendalaman telah ditangani oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memberi amaran kepada syarikat penyedia perkhidmaan untuk memperbaiki kualiti.
Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 peringkat Dasar di Dewan Rakyat petang ini berkata pada tahun 2022 sahaja, SKMM telah selesai mengaudit sejumlah 3,080 lokasi di seluruh Malaysia.
Katanya, sebanyak 229 Arahan Suruhanjaya berkaitan Kualiti Perkhidmatan telah dikeluarkan kepada pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan, iaitu melibatkan 214 lokasi berbeza.
"Daripada 229 Arahan Suruhanjaya tersebut, pemberi perkhidmatan telah membuat penambahbaikan yang melibatkan 157 Arahan Suruhanjaya. Manakala, semakan semula akan dibuat ke atas lokasi yang melibatkan 32 Arahan Suruhanjaya.
"Tindakan sivil akan diambil ke atas baki 40 Arahan Suruhanjaya yang telah gagal dipatuhi. Bagi lokasi-lokasi lain yang telah diaudit, hasil dapatan masih dalam peringkat analisis dan semakan.
"Melalui Arahan Suruhanjaya ini, pemberi perkhidmatan wajib melakukan penambahbaikan kualiti perkhidmatan dengan mengoptimumkan atau menaik taraf menara sedia ada agar kualiti pengalaman pengguna pada tahap yang baik serta menyediakan menara baharu untuk menambah baik kualiti jaringan jalur lebar.
"Kegagalan pemberi perkhidmatan mematuhi Arahan Suruhanjaya ini boleh dikenakan penalti sivil sehingga RM200,000 di bawah seksyen 109, Akta 588," katanya.
Selain itu, Fahmi juga menjawab isu kesalinghubungan di bawah program JENDELA Fasa 1 (2020-2022), iaitu sebanyak 7.7 juta premis telah siap disediakan dengan sambungan gentian optik bagi jalur lebar talian tetap, melebihi daripada jumlah 7.5 juta premis
Manakala bagi jalur lebar mudah alih, katanya, pencapaian liputan setakat suku keempat 2022 adalah sebanyak 96.9% di kawasan berpenduduk. Kadar purata muat turun jalur lebar mudah alih pula mencapai 116.03 Mbps berbanding sasaran asal sebanyak 35 Mbps.