Gangguan hidupan liar: Keselamatan jalan raya, rel keretapi dipertingkat
- Suara Keadilan

- May 14
- 2 min read

Kerajaan MADANI akan menilai semula aspek keselamatan di laluan jalan raya dan landasan kereta api yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi serta pernah mengalami gangguan daripada hidupan liar seperti gajah.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, berkata usaha ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar serta menjamin keselamatan pengguna.
"Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengambil langkah menjaga keselamatan orang ramai dan hidupan liar termasuk di projek-projek rel.
"Contohnya, dalam projek rel seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita sudah mempunyai langkah-langkah mitigasi termasuklah laluan dan terowong yang dibina khas untuk pergerakan hidupan liar.
"Kita ambil serius perkara ini bukan hanya untuk melindungi hidupan liar tetapi nyawa manusia kerana kita tahu apa yang akan berlaku sekiranya gajah melintas ketika kereta api sedang laju," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bil.1/2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Putrajaya pada Selasa.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony Loke memaklumkan mesyuarat JK-MKKJR secara dasar bersetuju untuk memperkenalkan mekanisme pendanaan keselamatan jalan raya sebagai langkah proaktif mengurangkan kemalangan.
Melalui inisiatif ini, Kementerian Kewangan (MOF) akan menyalurkan 50 peratus hasil kutipan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan.
"Dana ini akan digunakan bagi projek seperti pencahayaan kawasan kemalangan berisiko tinggi dengan pemasangan lampu LED solar antaranya di jajaran Senawang–Air Keroh yang sering mencatatkan kemalangan maut.
"Inisiatif ini akan dilakukan dengan kadar segera sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan mempertingkat keselamatan pengguna jalan raya dan pengangkutan awam," jelasnya.









Comments