Gangguan elektrik luar bandar waktu Natal: SEB perlu tangani segera
- Suara Keadilan

- 55 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Negeri Sarawak, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan agensi berkaitan digesa meneliti beberapa isu asas secara menyeluruh dan mengambil langkah penambahbaikan yang berkesan bagi memastikan kestabilan perkhidmatan asas bekalan elektrik, khususnya di kawasan penempatan semula seperti di Sungai Asap, Daerah Belaga.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, suasana perayaan Natal yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan oleh penduduk Kristian di Sungai Asap, terjejas semalam akibat gangguan bekalan yang berlaku sepanjang tempoh sambutan itu.
"Menurut maklum balas beberapa penduduk tempatan, gangguan bekalan elektrik bukanlah isu baharu, malah dilaporkan berlaku hampir setiap kali sambutan perayaan Krismas, termasuk dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
"Keadaan yang sama dilaporkan berulang pada sambutan Krismas tahun ini, khususnya pada 24 dan 25 Disember lalu, sehingga menjejaskan kelancaran ibadat gereja, program keagamaan serta aktiviti kekeluargaan.
"Saya sendiri menyaksikan gangguan bekalan tenaga elektrik ini apabila mengunjungi saudara-mara di Sungai Asap pada pada 25 Disember di mana bekalan elektrik terputus semasa sambutan Krismas sedang berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.
Seperkara lagi, kata Abun yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang, terdapat aduan yang disuarakan oleh penduduk melalui media sosial berkaitan masalah lain yang turut menjejaskan kehidupan seharian mereka.
Katanya, hal itu termasuk gangguan bekalan air dan kelemahan liputan serta kestabilan akses internet di kawasan Sungai Asap.
"Isu-isu asas ini perlu diberi perhatian serius kerana ia berkait rapat dengan kualiti hidup penduduk luar bandar.
"Saya dengan penuh hormat menggesa Kerajaan Sarawak dan Sarawak Energy Berhad (SEB), serta agensi berkaitan, supaya meneliti perkara ini secara menyeluruh dan mengambil langkah penambahbaikan yang berkesan bagi memastikan kestabilan perkhidmatan asas, khususnya di kawasan penempatan semula seperti Sungai Asap.
"Adalah menjadi harapan agar usaha berterusan dan penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan supaya gangguan berulang terhadap bekalan elektrik, air dan perkhidmatan internet dapat dielakkan pada masa hadapan, demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk setempat," kata beliau lagi.









Comments