Menjelang pengumuman keputusan rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti, calon Timbalan Presiden Mohd Rafizi Ramli bertemu Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertemuan berkenaan berkemungkinan membincangkan gerak kerja menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang akan dimulakan Rafizi menggunakan platform Ayuh Malaysia berikutan pendapat beliau golongan Atas Pagar kurang berminat melibatkan diri dalam program politik selepas 'keributan' penghianatan politik sejak 2020 lalu.
Dalam ungkapan ringkas di media sosial, Anwar mengulas pertemuan itu sebagai agenda memperkuatkan kembali parti.
"Semalam ketemu saudara Rafizi Ramli sambil diapit saudari Nurul Izzah. Bual santai selain bincang agenda memperkukuh KEADILAN," katanya ringkas.
Untuk rekod, PRU 15 boleh diadakan pada bila bila masa kerana penggal rasmi akan tamat pada Julai 2023. Baki setahun sebelum tamat penggal adalah tarikh biasa untuk mana mana kerajaan demokratik mengumumkan pilihan raya.
Justeru, KEADILAN mempunyai waktu yang tidak begitu panjang untuk melakukan persiapan sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan pada hujung tahun ini sebagaimana ramalan banyak pemerhati politik.
Comments