top of page

Gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, lebih empat juta pekerja terima manfaat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
11 hours ago
2 min read

Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu antara usaha merapatkan jurang produktiviti dan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada pendapatan rakyat tidak meningkat seiring kenaikan harga barangan.


Beliau berkata, kadar pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih rendah, iaitu 33.9 peratus, justeru pembaharuan struktur pendapatan perlu dilaksanakan bagi memastikan pekerja menerima ganjaran lebih setimpal.


"Beban kos sara hidup berbangkit kerana pendapatan rakyat tidak meningkat sejajar dengan kenaikan harga barangan. Pampasan pekerja kepada KDNK di Malaysia masih rendah pada kadar 33.9 peratus," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di dewan rakyat petang ini.


Bagaimanapun, Anwar berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.


Selain kenaikan gaji minimum, kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan kerangka pendapatan pekerja menerusi penetapan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan.


Menurutnya, langkah itu penting kerana kadar gaji minimum sedia ada hanya menetapkan paras terendah pendapatan pekerja, sedangkan upah pekerja mahir masih belum setimpal dengan tahap kelayakan mereka.


"Kadar gaji minimum hanya menaikkan lantai pendapatan pekerja, sementara upah pekerja mahir masih tidak setimpal dengan tahap kelayakan mereka," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini.


Anwar berkata, peningkatan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.


Beliau turut menggesa majikan sektor swasta mengikuti langkah kerajaan, GLIC dan GLC dalam menawarkan kadar gaji yang lebih wajar kepada pekerja.


"Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum, menetapkan gaji minimum pekerjaan separa mahir dan graduan dan menaikkan gaji penjawat awam. GLIC dan GLC turut menunjukkan teladan.


"Malah, beberapa majikan sektor utama dalam perbankan serta minyak dan gas telah menetapkan gaji lebih wajar. Oleh itu, saya menyeru semua majikan swasta untuk mengikut jejak yang sama," katanya.


Pada masa sama, kerajaan akan memperketat syarat tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji oleh syarikat selain PMKS, dengan mewajibkan pembayaran gaji dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.


Anwar berkata, langkah itu bertujuan menutup ruang kepada majikan daripada menggaji pekerja asing tanpa izin.


Bagaimanapun, syarat berkenaan hanya melibatkan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji dan tidak terpakai kepada potongan cukai bagi perbelanjaan lain.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page