Gaji graduan rendah: Sikap menteri akan menyebabkan cerdik pandai lari keluar negara



Sikap para menteri di Malaysia yang tidak peduli mengenai gaji rendah diterima graduan lepasan Institusi Pengajian Tinggi boleh menjadi penyebab golongan cerdik pandai keluar meninggalkan negara (brain drain) dan mencari pekerjaan di luar.


Hal itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir bersama Setiausaha AMK, Syukri Razab.


Bagi mereka, walaupun kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih gagal membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 namun menteri tidak boleh lepas daripada tanggungjawab menjelaskan kepada rakyat usaha mereka untuk mengelakkan pekerja dimanipulasi majikan dalam isu upah dan gaji.


"Menteri mesti bertanggungjawab dengan menjelaskan, terutama kepada golongan graduan berkenaan strategi dan pendekatan yang kerajaan usahakan mengekang manipulasi ini, serta usaha meningkatkan gaji minima.


"Di samping itu, situasi gaji amat rendah ini juga akan menjejaskan usaha negara mengekang fenomena brain drain (penghijrahan cerdik pandai bekerja di luar negara) yang menurut firma pengurusan pelaburan global, Schroders sebagai antara punca permasalahan ekonomi Malaysia.


"Ini sudah pasti akan memberi kesan besar terhadap masa depan negara sekiranya fenomena ini tidak dapat dibendung akibat kegagalan polisi kerajaan.


"Menteri-menteri PN seharusnya lebih peka menyelami permasalahan rakyat dan hentikanlah daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperlekeh atau menyalahkan rakyat yang mendambakan pembelaan," kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut mereka lagi, gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed agar graduan bersyukur walau bergaji rendah amat mengecewakan dan menyimpang dari persoalan pokok yang perlu beliau jawab.


"Begitu juga kenyataan Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia pada Ogos 2020 yang menyeru supaya pekerja menerima kerja bergaji rendah daripada tiada kerja langsung dan mengulanginya sekali lagi semalam agar graduan menerima tawaran gaji sedia ada daripada menjadi penganggur.


"Kenyataan yang memperlekeh graduan serta golongan pekerja ini memberi gambaran kegagalan menteri untuk memahami realiti sebenar permasalahan di kalangan graduan. Maka tidak hairanlah ekonomi Malaysia kini berhadapan dengan kelembapan ketara dan gagal berada di atas landasan sepatutnya dalam fasa pemulihan," kata mereka


Menurut Akmal dan Syukri lagi, fakta kegagalan pengurusan ekonomi Malaysia diburukkan dengan kemerosotan mendadak kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sehingga 68 %, penguncupan KDNK bagi tahun 2020 yang menyusut kepada -5.6 % serta peningkatan pengangguran sehingga 772,900 orang dengan kadar 4.8 % pada Disember 2020, walaupun Program Pengekalan Pekerjaan dan Program Subsidi Upah telah diperkenalkan.


Kata mereka, kemelesetan ekonomi itu kini ditambah pula dengan kenyataan culas menteri seolah-olah merestui tindakan sesetengah majikan memanipulasi keadaan secara membuang pekerja berpengalaman dan mengambil graduan sebagai pekerja baharu untuk ditawarkan gaji jauh lebih rendah.


Hal itu, kata mereka bukan sahaja menurunkan produktiviti dan menjauhkan pelabur tertapi juga menjadi faktor yang menjejaskan peratusan peningkatan gaji tahunan pekerja-pekerja di Malaysia.


Baru-baru ini dalam laporan Perangkaan Malaysia (DOSM), dilaporkan majoriti golongan lepasan siswazah di negara ini menerima gaji antara RM1,001 hingga RM 1,500, tidak cukup untuk membiayai hidup di kota besar yang memerlukan pendapatan di atas RM2,500 untuk menjamin hidup yang lebih selesa.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio