Gagasan Johor Sempurna: PH tawar dasar terbaik, pembangunan inklusif - David Cheong
- Redzuan Shamsudin

- 1 hour ago
- 2 min read

Pengundi Johor diseru membuat pilihan berdasarkan dasar, integriti dan keupayaan mentadbir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bukannya dipengaruhi sentimen atau kepentingan individu.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata PRN Johor merupakan medan penting untuk menentukan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, justeru rakyat perlu memilih kerajaan yang mempunyai visi jelas dan pelan pembangunan menyeluruh.
"Pilihan Raya Negeri Johor adalah peluang untuk rakyat menentukan hala tuju negeri bagi lima tahun akan datang.
"Justeru, saya menyeru seluruh pengundi Johor agar membuat pilihan berdasarkan dasar, integriti dan keupayaan mentadbir, bukannya sentimen atau kepentingan individu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (PH) tampil dengan 10 manifesto utama yang memberi tumpuan kepada isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
"Pakatan Harapan tampil dengan 10 manifesto utama yang memfokuskan kepada perkara yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
"Antaranya ialah mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan rakyat, membina rumah mampu milik, memperkukuh sistem kesihatan, memperkasa pendidikan dan TVET, memacu ekonomi digital serta memperkukuhkan tadbir urus yang telus dan berintegriti," katanya.
David berkata, gagasan Johor Sempurna yang diketengahkan PH membawa aspirasi membangunkan negeri secara inklusif dan seimbang.
"Seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Amirudin Shari, kita membawa satu gagasan yang lebih besar, iaitu 'The Ideal of Johor' atau Johor Sempurna.
"Johor Sempurna bermaksud sebuah negeri yang maju, inklusif dan seimbang pembangunannya. Kemajuan bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi juga sejauh mana manfaat pembangunan itu dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira kawasan mahupun latar belakang.
"Pembangunan tidak boleh tertumpu di satu kawasan sahaja, sebaliknya mesti dirancang secara menyeluruh merangkumi utara, selatan, timur serta kawasan luar bandar Johor," katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan kempen pihak lawan lebih banyak tertumpu kepada isu melibatkan individu berbanding penyelesaian terhadap masalah rakyat.
"Sepanjang kempen ini, rakyat dapat melihat bagaimana sebahagian besar naratif pihak lawan banyak berkisar kepada isu melibatkan Najib Razak dan kepentingan individu.
"Sedangkan rakyat lebih mengharapkan penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan pembangunan negeri," katanya.
Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Negeri Selangor itu berkata, rakyat Johor perlu memilih kerajaan yang mampu membawa pembangunan menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
"Saya yakin rakyat Johor adalah pengundi yang matang dan bijaksana. Pilihlah sebuah kerajaan yang mempunyai visi jelas, pelan pembangunan yang menyeluruh serta komitmen untuk membawa kemajuan yang dapat dirasai oleh setiap rakyat.
"Masa depan Johor tidak harus ditentukan oleh politik yang berpusat kepada individu, sebaliknya oleh dasar yang mampu membina sebuah Johor yang benar-benar sempurna untuk semua," katanya.




Comments