Gagal lulus Belanjawan 2021, Muhyiddin hilang hak bubarkan Parlimen - Hassan Karim



Semakin hampir tarikh pengundian Belanjawan 2021 pada 25 November ini, suhu politik Malaysia semakin hangat berikutan ketidakpastian kemampuan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) meluluskan belanjawan itu di Dewan Rakyat.


Spekulasi kegagalan pentadbiran Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin bertiup kencang apabila Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC), Najib Razak baru-baru ini memberi kata dua kepada kerajaan PN memasukkan syarat penyambungan moratorium pinjaman bank dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebanyak RM10,000 andainya Muhyiddin mahu Ahli Parlimen BN memberi sokongan.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, keadaan genting itu mungkin penamat kepada karier politik Muhyiddin selepas 25 November.


Katanya, jika Muhyiddin gagal maka beliau hilang kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dan hanya boleh memilih meletak jawatan.


"Perdana Menteri yang kalah di Dewan Rakyat kerana belanjawan kerajaannya ditolak oleh Ahli-ahli Parlimen hilang kedudukan atau locus standi untuk bertindak sebagai seorang PM yang sah menasihati Agong supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).


"Yang Berhormat Ahli Parlimen Pagoh itu tiada pilihan lain. Beliau perlu meletakkan jawatan sebagai PM.


"Semua menteri kabinet juga secara otomatik gugur dari jawatan dan Kerajaan PN ikut tumbang," kata Hassan dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, perisytiharan darurat juga tidak boleh dilakukan oleh kerajaan Muhyiddin kerana beliau telah kehilangan hak menasihati Agong sekiranya tewas pengundian belanjawan.


Apatah lagi, kata Hassan, negara tidak menghadapi sebarang situasi mendesak yang membenarkan darurat dikuatkuasakan


"Apabila Belanjawan 2021 ditolak itu bermakna Ahli Parlimen Pagoh kehilangan sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Beliau sudah tidak ada locus standi sebagai PM untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.


"Kalah dalam pengundian belanjawan tidak boleh dijadikan alasan perisytiharan darurat. Ada tiga sebab utama di dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk darurat diisytiharkan.


"Pertama ada ancaman keselamatan negara; kedua ada ancaman terhadap kehidupan ekonomi; dan ketiga ada ancaman terhadap ketenteraman awam.Ketiga-tiga alasan itu tidak wujud sekarang atau pada 26 November nanti.


"Keselamatan Malaysia tidak terancam.Tidak ada tentera asing sedang atau akan menyerang Malaysia. Ekonomi akan terus berjalan walaupun Belanjawan 2021 kalah di Dewan Rakyat. Kilang dan industri berjalan. Bank-bank beroperasi seperti biasa.Rakyat bekerja walaupun setengahnya dari rumah kerana PKPB atau PKPD.


"Ketenteraman awam tidak terancam. Rakyat tidak ada yang berdemonstrasi atau merusuh sekarang. Semuanya akur ikut SOP dan berdisiplin. Jadi tidak ada asas untuk isytihar darurat," katanya lagi.


Bagaimanapun, Hassan tidak melihat keadaan itu akan menjadikan Malaysia huru-hara atau sebagaimana digambarkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini kakitangan awam tidak dibayar gaji.


Menurut beliau, wujud duluan (presedent) pada 1999 apabila Belanjawan 2000 dibentangkan dan belum diundi tetapi Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU ke-10.


Perdana Menteri yang baharu selepas Muhyiddin, kata Hassan, boleh menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk menasihati Baginda supaya sidang khas Parlimen dipanggil seawal bulan Disember 2020 bagi meluluskan belanjawan di bawah Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan.


"Perkara 102 (a) Perlembagaan Persekutuan itu membenarkan melalui undang-undang perbelanjaan bagi sebahagian tahun 2021 sebelum lulus Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2021 tersebut.


"Pernah berlaku. PRU Malaysia tahun 1999 telah diadakan sebaik sahaja belanjawan dibentangkan pada bulan November. Sebelum Belanjawan diluluskan, Parlimen dibubar dan PRU tahun 1999 diadakan.


"Kerajaan baharu yang dibentuk selepas itu telah menggunakan peruntukkan Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan untuk menguruskan operasi kerajaan dan membayar gaji kakitangan awam," ujarnya.


Sehubungan itu, Hassan menasihatkan rakyat agar bertenang sekiranya Belanjawan 2021 gagal diluluskan dan kerajaan PN jatuh. Tegasnya, negara boleh ditadbir dengan lebih baik oleh seorang Perdana Menteri baharu.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio