Ahli KEADILAN digesa memahami situasi politik semasa sebagaimana mereka faham keadaan pandemik Covid 19.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kegagalan memahami situasi politik menyebabkan ahli parti akan mengambil tindakan yang salah sebagaimana kerajaan pernah menutup ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)1.0 tahun lalu.
"Apa yang terjadi dalam Covid 19 ramai yang tidak tahu atau tidak faham. Sebab itu kita memulakan langkah yang silap. Antara yang silapnya kita buat PKP. Adakah silap semua? Tidak, ia mungkin betul tetapi kita tak boleh buat PKP berpanjangan. Kalau berpanjangan ekonomi tidak berjalan.
"Masalah kerentanan ekonomi, kegagalan pergerakan ekonomi yang parah disebabkan PKP 1.0. Dari situ kita belajar, rupanya yang penting pakai topeng, jarak diri kita, kawal supaya tidak dijangkiti Covid.
"Dalam masa Covid kita berdepan masalah sama dari segi politik, pengkhianatan, pergerakan Perikatan Nasional, darurat dan sebagainya.
"Kalau kita gagal memahami masalah ini betul-betul dia akan sama bagaimana berlaku ketika berdepan Covid," katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan KEADILAN Cabang Batu, semalam.
Kata Amirudin lagi, ahli parti yang silap membuat keputusan mungkin berkhianat dan meninggalkan perjuangan KEADILAN selepas Langkah Sheraton.
Namun, katanya, rekod lampau ahli atau pemimpin yang meninggalkan perjuangan tidak mampu survive dengan perjuangan baharu dan ada pula yang masuk kembali ke dalam parti.
"Begitulah masalah politik dalam negara. Ada orang melihat ia disebabkan oleh pengkhianatan, ada yang kata penjajaran politik Melayu, pertarungan satu dengan satu watak dalam politik negara. Sebab itu ketika berdepan situasi politik tidak stabil kita kena faham. Kalau tak faham kita ambil tindakan yang salah.
"Sebab itu KEADLAN antara parti yang dapat kesan teruk. Kita banyak kehilangan pemimpin sejak 1999. Setiap kali nak pilihan raya hilang. Orang-orang yang ada kekuatan individu dan boleh menarik sokongan. Tetapi dengan kecekalan kita, bukan sahaja parti ini bertahan tetapi pada waktu ini kita antara yang mempunyai kekuatan terkuat di Malaysia. Hampir semua lokaliti ada base KEADILAN kerana perjuangan kita progres dan membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.
"Sejarah membuktikan mereka yang keluar dari parti. Ada yang masuk balik. Dia tidak akan survive. Mungkin ada kepuasan peribadi tetapi perjuangannya tidak akan pergi jauh," katanya lagi.
Amirudin turut memuji KEADILAN Cabang Batu yang dianggap jiran yang sentiasa tolong menolong dalam kempen pilihan raya kerana kedudukan yang bersebelahan dengan DUN Sungai Tua diwakili beliau.
Comments