Gagal buat ujian COVID-19 dan kuarantin, ADUN Lunas digesa letak jawatan


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah menggesa ADUN Lunas, Azman Nasruddin supaya meletakkan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri Kedah selepas langsung tidak menjalani ujian saringan COVID-19 mahupun membuat kuarantin di rumah selepas pulang berkempen dari Sabah.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata kelalaian Azman itu memberikan kesan besar kepada jumlah kes yang meningkat sejak kebelakangan ini.



"Sikap tidak bertanggungjawab beliau yang mementingkan diri sendiri dengan tidak membuat ujian calitan dan kuarantin diri sendiri setelah pulang dari Sabah berkempen untuk kerajaan Perikatan Nasional amat mendukacitakan.


"Akibat dari sikap beliau ini menyebabkan isteri beliau yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus, Penaga, Pulau Pinang positif Covid-19.


"Ini sekaligus menyebabkan lebih 600 pelajar dan guru mengalami kesusahan kerana terpaksa menjalani ujian saringan Covid-19. Sekolah tersebut terpaksa ditutup selama lapan hari. Azman juga telah menghadiri pelbagai program rasmi kerajaan negeri dan beberapa program di Langkawi pada 27 September 2020," katanya.


Justeru, Firdaus berpandangan bahawa Azman seharusnya meletakkan jawatan kerana gagal menjadi pemimpin yang bertanggungjawab.


"AMK Kedah bersimpati dengan keadaan kesihatan beliau dan seluruh keluarga serta mendoakan agar beliau cepat sembuh. Walaubagaimanapun, salah tetap salah. AMK Kedah menuntut Azman untuk memohon maaf secara rasmi dan terbuka kepada seluruh rakyat di Kedah termasuk kepada semua ibu bapa serta guru-guru SK Permatang Janggus.


"Azman wajib meletakkan jawatan beliau sebagai Exco kerajaan negeri Kedah dengan segera. Ini melibatkan isu integriti beliau sebagai seorang pemimpin negeri yang perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yang berlaku," katanya.


Pada masa sama, Firdaus juga mendesak kerajaan negeri mengenakan tindakan terhadap pemimpin itu.


"AMK Kedah juga mendesak supaya Azman didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Jangan wujud layanan dua darjat antara rakyat marhaen dan pemimpin politik.


"Adakah kerajaan negeri Kedah atau pihak berwajib akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka sebagaimana tindakan undang-undang yang telah diambil terhadap lelaki yang menjadi punca bermula dan merebaknya Kluster Sivagangga dulu? Setiap rakyat di Malaysia harus dilayan serta dibicarakan dengan adil dan saksama. Hak keadilan itu perlu diutamakan," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio