Gadis bawah umur perlu didakwa: 'Kanak-kanak dikira dirogol walau setuju'
- Suara Keadilan

- Sep 22
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Cadangan oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa bersama lelaki dewasa yang menjadi pelaku, menerima reaksi daripada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (gambar).
Beliau yang juga pengamal undang undang berpendapat, cadangan tersebut merupakan petunjuk kemungkinan wujudnya salah faham terhadap undang-undang jenayah seksual di negara ini.
Katanya, menurut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, hubungan seksual dengan gadis di bawah 16 tahun tetap dikira sebagai rogol, walaupun dengan 'persetujuan'.
''Undang-undang ini wujud kerana kanak-kanak tidak mempunyai kapasiti sah untuk memberi persetujuan.
''Ia berasaskan hakikat bahawa mereka belum matang daripada segi psikologi, kognitif dan pengalaman sosial.
''Tujuannya bukan menilai kerelaan semata-mata, tetapi menghalang eksploitasi oleh orang dewasa melalui kuasa, usia atau manipulasi emosi,'' kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Jimmy Puah, tafsiran Seksyen 375 dengan jelas hanya mendefinisikan rogol sebagai perbuatan seorang lelaki yang melakukan penetrasi terhadap seorang perempuan tanpa kerelaannya.
''Walau kelihatan 'suka sama suka', kita harus tanya sama ada seorang kanak-kanak itu benar-benar matang untuk membuat keputusan sedar?
''Adakah mereka faham kesan fizikal dan emosi? Bolehkah mereka memilih dengan bebas tanpa paksaan atau pujuk rayu?'' soal beliau.
Dalam pada itu, Jimmy yang juga Naib Pengerusi KEADILAN Johor berpendapat, menjadikan gadis bawah umur sebagai tertuduh akan menghantar mesej bahawa jika mangsa tidak melawan atau terpedaya dengan janji lelaki dewasa, mereka juga bersalah.
Beliau mendakwa, hal itu akan menambah stigma, menakutkan mangsa untuk tampil ke hadapan dan menutup pintu keadilan.
Semalam, Mohd Yusoff dilaporkan mencadangkan perempuan yang terbabit dalam hubungan seks 'suka sama suka' dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90% kes rogol bawah umur yang dilaporkan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.









Comments