Gadai kedaulatan negara: Azmin baca perjanjian tidak habis - Zafrul
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Kenyataan bekas Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Azmin Ali kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah menggadai kedaulatan negara ditempelak Menteri MITI semasa, Datuk Seri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (gambar).
Dalam satu kenyataan video, Zafrul mengur Azmin agar lebih berhati hati dalam mengulas perjanjian berkenaan.
Katanya, Azmin hanya membaca separuh dan mendakwa bahawa perjanjian itu menggadai kedaulatan negara kerana AS didakwa boleh memaksa Malaysia ikut melakukan sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi terhadap negara lain.
Sebaliknya Zafrul berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana klausa yang dipetik, iaitu Klausa 5.1, perlu dibaca secara menyeluruh dan bukan separuh-separuh.
"Kalau baca perjanjian, kita kena baca penuh. Jangan baca sekerat. Baru-baru ini Azmin Ali kata perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia AS ini menggadaikan kedaulatan negara.
"Klausa yang dipetik ialah klausa 5.1. Apa kandungan klausa 5.1 ini? Dia cuma petik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua dan kononnya kalau AS kenakan sekatan kepada mana-mana negara, Malaysia ini automatik kena ikut," katanya.
Jelas beliau, Azmin hanya memetik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua dalam klausa berkenaan yang berbunyi:
“Upon receiving such notification from the United States, Malaysia shall adopt or maintain a measure with equivalent restrictive effect as the measure adopted by the United States or agree to a timeline for implementation that is acceptable to both Parties…”
Namun, bahagian akhir klausa adalah yang amat penting, iaitu:
“…to address a shared economic or national security concern.”
Tegas Zafrul, frasa shared economic or national security concern menjelaskan bahawa langkah sekatan hanya akan diambil sekiranya isu tersebut memberi kesan terhadap keselamatan ekonomi atau nasional kedua-dua negara.
"Apa maksudnya? Maksudnya sekatan ini perlu untuk menangani isu keselamatan negara dan ekonomi bersama. Kata kunci di sini bersama.
"Maksudnya kalau isu tersebut hanya memberi kesan kepada keselamatan negara dan ekonomi AS tetapi tidak memberi impak kepada keselamatan negara dan ekonomi Malaysia, kita tak perlu pertimbangkan," katanya lagi.





