top of page

Gabung kelebihan GST, SST, cari sistem cukai baharu lebih cekap - PM

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Aug 18
2 min read

Kerajaan akan meneliti kemungkinan menggabungkan kelebihan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam usaha mencari sistem percukaian baharu yang lebih progresif dan efisien.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak seharusnya terikat kepada perdebatan sama ada GST atau SST semata-mata kerana kedua-dua sistem mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.


Malah, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengakui GST merupakan sistem percukaian yang lebih telus dan efisien, seperti pernah dinyatakannya sejak 1990-an.


"Beberapa penyesuaian perlu dilakukan. Saya akui GST, seperti yang saya nyatakan pada tahun 1990-an, merupakan sistem yang paling telus dan efisien.


"Tetapi kita kena ingat, ia masih merupakan cukai berasaskan luas. Golongan paling miskin juga perlu membayarnya. Prinsip itu dari segi pertimbangan moral saya, ada sedikit masalah.


"Mungkin pandangan ini tidak popular bagi ramai pihak tetapi itulah hakikatnya," katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya hari ini.


Menurut Anwar, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah kewajaran memperkenalkan sistem percukaian yang menyebabkan semua rakyat perlu membayar cukai termasuk mereka yang berpendapatan rendah.


"Bagaimana saya hendak mengajukan satu cadangan sistem percukaian yang semua harus bayar, walaupun kadar percukaian itu kecil? Itu sahaja.


"Tetapi apakah kita harus bergantung pada SST sebab ada juga kelemahan? Jadi bagaimana kita boleh gabung kedua-dua sistem ini, mencari jalan yang baharu dalam menentukan sistem percukaian yang lebih progresif dan lebih efisien," katanya.


Anwar berkata usaha mencari kaedah percukaian berkenaan merupakan antara cabaran penting yang perlu diteliti Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.


"Itu bukan kerja saya, itu kerja Amir Hamzah dengan Johan. Tetapi itulah cabaran yang penting, ia harus dilakukan.


"Cuma ia tidak semudah itu. Kita tidak boleh senang-senang kata GST. Ia tidak mudah dalam keadaan kadar kemiskinan meningkat, kos sara hidup meningkat, Jualan Rahmah terpaksa dibuat setiap minggu," katanya.


Beliau berkata kerajaan perlu mengambil kira keadaan kehidupan rakyat sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perubahan besar terhadap sistem percukaian negara.


Anwar turut membangkitkan persoalan mengenai kesan SST dan kelemahan yang masih terdapat dalam sistem percukaian berkenaan.


"Bagaimana dengan SST? SST maknanya semua yang kena bayar, yang dulunya tak bayar. Itu sahaja masalahnya.


"Kalau ada jawapan yang bernas, saya baik-baik saja. Saya bukan ahli ekonomi atau pakar dalam bidang ini," katanya.


Dalam pada itu, Anwar berkata reformasi ekonomi termasuk sistem percukaian tidak boleh dilaksanakan dengan mengabaikan persoalan asas yang dihadapi rakyat khususnya kemiskinan, jurang pendapatan dan kos sara hidup.


Menurutnya, kerajaan perlu bergerak agresif dalam reformasi ekonomi, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan tetapi pada masa sama memastikan kemajuan itu memberi manfaat kepada rakyat.


"Tetapi jangan lupa, kita masih hadapi beberapa masalah (iaitu) masalah bahasa, masalah budaya, masalah kemiskinan, kesenjangan kaya dan miskin. Itu maknanya mesti mengakar di bumi.


"Bagaimana kita boleh tentukan dalam dasar ekonomi kita bahawa kita meneruskan reformasi ekonomi secara agresif dan efisien tetapi pada masa sama tidak mengabaikan isu asas yang memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhannya iaitu isu kehidupan dan keperluan harian rakyat," katanya.


Belanjawan 2027 bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober depan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page