Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh mengalu-alukan sumbangan dari orang ramai bagi membantu mangsa banjir di Kuantan, Pahang.
Beliau selaku Ahli Parlimen Kuantan berkata Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan mengalu-alukan sumbangan berbentuk kewangan dan barangan makanan serta kelengkapan peribadi pembersih diri, kecuali pakaian.
"Sumbangan berbentuk kewangan boleh disalurkan terus menerusi akaun Maybank:- Pejabat Ahli Parlimen Kuantan (506164028867) dengan rujukan : Bencana2021.
"Moga sedikit sebanyak membantu para sukarelawan yang bertugas dan juga mangsa dalam memberikan khidmat bantuan awal," katanya.
Kuantan mula dinaiki air berikutan hujan yang berterusan bermula 3 Januari lalu.
Ini menyebabkan paras air meningkat menyebabkan banjir di beberapa kawasan di daerah itu terutama di Sungai Lembing, Seri Damai, Paya Bungor Gambang, kawasan Beserah serta Kampung Galing.
Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan di Kuantan, Maran, Pekan, Rompin, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh dan Bera yang dijangka berlarutan hingga hari ini.
Setakat ini, sebanyak 33 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir dibuka di daerah Kuantan yang menempatkan 2,434 mangsa dari 33 kampung.
Jumlah keseluruhan mangsa di Kuantan melibatkan 711 keluarga.
Comments