top of page

Friends of BHESS diperkenal, perluas kefahaman Perjanjian MA63

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
Sep 12
1 min read

Friends of BHESS bakal diperkenalkan sebagai inisiatif memperluas kefahaman dan sokongan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, inisiatif itu bakal diusahakan bersama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia .


Hal itu susulan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengangkat MA63 sebagai naratif nasional.


"Pendekatan ini penting kerana perkara berkaitan MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada asas pembentukan dan pengukuhan Persekutuan Malaysia.


"Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara," katanya dalam kenyataan.


Anwar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat menegaskan bahawa MA63 perlu dilihat sebagai asas komitmen pembentukan Malaysia, setaraf dengan komitmen kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957.


Beliau turut berharap usaha meletakkan MA63 dalam kerangka National Policy, National Commitment and National Narrative dapat diterima oleh seluruh rakyat, sama ada di Sabah, Sarawak, mahupun Semenanjung.


Sementara itu Mustapha menerusi kenyataannya menegaskan, Friend of BHESS juga bakal menjadi wadah memperluas perbincangan dan perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator, khususnya mengenai perkara yang memerlukan kefahaman serta sokongan di peringkat Parlimen.


"Pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya.


"Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page