
Bersiap masuk ke era Revolusi Industri 4.0 bakal mengubah peranan dan tumpuan Jabatan Penyiaran Malaysia.
Hal itu dinyatakan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Ahmad Fahmi Fadzil yang melawat Radio, Televisyen Malaysia di Angkasapuri, petang tadi.
"Fokus Kementerian ini adalah bersiap sedia untuk masa depan, dan fokus Jabatan Penyiaran semestinya menjadi lidah rasmi Kerajaan Perpaduan. Ini saya tekankan.
"Fokus kita waktu ini untuk angkat isu isu penyelesaian yang diusahakan oleh Jemaah Menteri terutama isu kos sara hidup, tatakelola yang baik, pengurangan pembaziran dan pastikan wang rakyat dibelanja dengan baik
"Saya percaya dengan kepimpinan yang ada dan sedikit perubahan dalam masa terdekat penabahbaikan dari segi kandungan akan berlaku. Dalam era media sosial banyak kandungan yang kita tonton dalam media online ketika ini menjadi saingan.
"Malah angka yang diberikan kepada saya menunjukkan prestasi memberangsangkan. RTM kit pula contohnya kita boleh tonton RTM bila bila masa di mana sahaja, terutama kepada warga di luar negara," katanya.
Mengenai beberapa projek yang masih berjalan Fahmi mahu ia segera diselesaikan, terutama melibatkan RTM di peringkat negeri
"Kita jangkakan Kota Media Angkasapuri akan dapat diselesaikan dan siap dalam suku pertama, atau awal suku kedua 2023.
"Saya juga meneliti beberapa apsek Jabatan Penyiaran bukan di Kuala Lumpur tetapi di beberapa negeri untuk pastikan wang rakyat dapat dibelanja dengan baik. Sekiranya ada sebarang kelewatan, ini jadi fokus. Saya kurang suka ada projek sakit dan ini akan ditangani," katanya.
Di samping itu, Fahmi juga telah bertemu dengan Pengarah Penerangan setiap negeri dan berlaku pertukaran pendapat yang menggalakkan antara Menteri dan Pengarah Penerangan Negeri.
Fahmi mengarahkan Jabatan Penerangan segera menguar uar ke akar umbi konsep Kerajaan Perpaduan pelbagai parti hari ini, sebab diwujudkan dan tekad pimpinan untuk menyelesaikan masalah rakyat melalui muafakat berkenaan.