top of page

Fokus basmi kemiskinan dengan pemerkasaan ekonomi, penyelarasan gaji

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 31
  • 2 min read

ree

Kerajaan MADANI menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan tidak cukup dengan bantuan bersifat sementara semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui penciptaan peluang ekonomi dan peningkatan mobiliti sosial rakyat.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif pemerkasaan ekonomi komuniti bandar, pembangunan kesejahteraan rakyat dan peningkatan pendapatan akan terus diperluas agar rakyat dapat berdiri atas kaki sendiri.


"Salah satu contoh ialah Program SejaTi MADANI, yang menyediakan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak untuk menjana pendapatan dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat," kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini..


Menurut beliau, keunikan program itu terletak pada pendekatan rakyat untuk rakyat dalam memperkasa komuniti secara langsung, khususnya dalam kalangan desa dan masyarakat miskin bandar.


Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut menjadi antara tonggak utama dalam usaha menjana pendapatan berkemahiran tinggi. Pada tahun 2024 sahaja, kata beliau, seramai 212,000 pelajar baharu telah mendaftar dalam program TVET.


"Program TVET MADANI akan diperkasa lagi, termasuk melibatkan pelajar tahfiz dan huffaz, agar mereka juga dapat menguasai kemahiran teknikal yang berdaya saing," ujarnya.


Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula laluan kerjaya, tahap pensijilan TVET akan dinaik taraf dengan memperkenalkan tiga tahap kepakaran baharu (Tahap 6 hingga 8), supaya setara dengan kelayakan pengajian tinggi di bawah Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).


Dalam usaha memastikan pasaran buruh lebih adil dan responsif, kerajaan juga akan mempercepat penyelarasan gaji menyeluruh dan memperluas kadar gaji minimum kepada graduan dan pekerja separa mahir, termasuk lepasan TVET di bawah Kod MASCO 8 dan ke atas.


Kerajaan juga akan memperkasa Majlis Perundingan Gaji Negara dan menambah baik portal e-MASCO sebagai instrumen pemantauan gaji yang telus dan berasaskan data. Pada masa sama, syarikat-syarikat besar digalakkan untuk menyediakan gaji wajar, sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh GLIC dan GLC.


Dengan langkah-langkah berkenaan kerajaan yakin dapat melonjakkan kualiti hidup rakyat secara lestari, mengurangkan jurang pendapatan, dan meletakkan Malaysia di landasan menuju negara maju yang inklusif dan progresif.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page