FlySiswa diperluas, lebih 6,000 pelajar baharu dapat manfaat
- Suara Keadilan

- Jan 13
- 2 min read

Inisiatif FlySiswa yang diperkenalkan kerajaan diperluaskan kepada empat kategori baharu institusi pengajian, sekali gus membuka peluang kepada 6,278 lagi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menikmati kemudahan baucar penerbangan pulang ke kampung halaman.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata peluasan itu melibatkan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), Universiti Separa Kerajaan (GLU) serta Institut Pengajian Tinggi milik Kerajaan Negeri (IPTN).
Menurutnya, langkah berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan pelajar, khususnya dalam mengurangkan beban kos perjalanan udara yang sering menjadi cabaran kepada golongan tersebut.
"Kerajaan mahu memastikan lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan inisiatif ini. Tahun lalu, daripada jumlah yang layak, hanya sekitar 80 peratus atau 44,741 pelajar menggunakan baucar FlySiswa yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengangkutan Siswa MADANI dan FlySiswa 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang hari ini.
Mengenai desakan agar FlySiswa diperluaskan kepada pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS), Loke menjelaskan kerajaan masih belum bersedia untuk membuat komitmen sedemikian berikutan beberapa kekangan utama.
Jelas beliau, jumlah pelajar IPTS yang terlalu besar selain ketiadaan sistem data berpusat bagi mengesahkan status pelajar secara menyeluruh.
"Untuk IPTA, kita ada data lengkap di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Bagi IPTS pula, tiada pangkalan data berpusat, jadi sukar untuk mengesahkan status pelajar dan menganggarkan kos sebenar yang terlibat," katanya.
Loke turut menjelaskan bahawa baucar FlySiswa bernilai RM400 ditawarkan dalam bentuk baucar fleksibel dan tidak terhad kepada satu tiket penerbangan sahaja.
"Kalau pelajar beli tiket RM180, baki baucar masih boleh digunakan untuk penerbangan lain. Kita sengaja beri dalam bentuk baucar supaya pelajar bebas merancang perjalanan dan boleh manfaatkan tambang murah jika beli awal," katanya.




Comments