
Otai Reformis 98 dan Gerak 98 menganjurkan flashmob berhadapan Restoran Amjal di Jalan Pantai Bahru, Kuala Lumpur semalam, mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera membuka semula Parlimen dan menamatkan pemerintahan darurat.
Setiausaha Otai Reformis 98, Razak Ismail berkata, flashmob itu dianjurkan bagi menyedarkan rakyat agar terus mendesak pemerintah mendengar suara rakyat.

"Kira-kira 100 aktivis dari kedua-dua NGO penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyertai flashmob tersebut yang berjalan lancar dan memberikan kerjasama penuh kepada anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas di jalan tersebut.
"Ini adalah sebahagian aktiviti Otai Reformis bagi menyatakan bantahan terhadap proklamasi darurat yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 12 Januari baru-baru ini," katanya.
Menurut Razak lagi, organisasi Otai Pusat telah mengarahkan NGO peringkat negeri untuk mengadaan flashmob yang sama di kawasan masing-masing selepas Hari Raya Aidilfitri ini untuk memberi tekanan kepada kerajaan dalam menamatkan darurat.
Himpunan Otai Reformis semalam menjulang plakard 'Tamat Darurat', 'Buka Semula Parlimen' dan 'Laksanakan Undi 18' sambil disambut oleh pengguna jalan raya.