Fitnah tukar status tanah, Hannah Yeoh pertimbang tindakan mahkamah
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (gambar) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang didakwa memfitnahnya berhubung isu penukaran status tanah di Taman Segar, Cheras.
Ahli Parlimen Segambut itu menegaskan, dakwaan kononnya beliau terbabit menukar status daripada pajakan kepada pegangan bebas dalam tempoh singkat adalah tidak berasas dan fitnah.
Lebih membimbangkan jelasnya, pihak terbabit dilihat sengaja memainkan isu perkauman bagi mengelirukan sekaligus mencetus kemarahan orang ramai berhubung perkara itu.
"Saya ada melihat di sebuah portal dalam talian dan seorang (aktivis politik) 'upload' di media sosial. Ini semua adalah fitnah.
"Apabila kita hadir di Taman Segar, Cheras untuk buat sidang media pewartaan padang untuk orang awam (baru-baru ini), saya tak terbabit pun dalam jawatankuasa tanah untuk tukar 'leasehold' kepada 'freehold'. Jadi ini ternyata fitnah," katanya dipetik pada sidang media, semalam.
Media sebelum ini melaporkan isu dibangkitkan penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman yang mempersoalkan bagaimana Hannah didakwa berjaya menukar status rumah di Taman Segar, Cheras daripada 'leasehold kepada 'freehold' dalam tempoh singkat.
Sedangkan dakwanya, ramai orang Melayu masih menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan status pegangan bebas bagi hartanah mereka.
"Mereka tak henti-henti mainkan isu kaum dan ini adalah pembohongan langsung.
"Jadi saya minta polis siasat dan juga saya akan pertimbangkan tindakan mahkamah untuk yang memfitnah ini," tegas sambil memaklumkan, dua laporan polis sudah difailkan bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan tersebut.




Comments