top of page

Fitnah, maruah dan krisis nilai: Suatu peringatan tegas untuk umat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Oleh: Farahida Fauzi


ULASAN: Fitnah bukan sekadar kesalahan lisan, tetapi satu jenayah moral yang merobek maruah, merosakkan kepercayaan dan menggugat struktur nilai masyarakat.


Kes yang melibatkan YB Fadhlina Sidek (tuduhan larangan takbir di sekolah bersolidariti perjuangan Palestin) menjadi bukti jelas bagaimana sesuatu tuduhan boleh berlegar bertahun-tahun, mencalar reputasi, dan hanya diselesaikan setelah kerosakan berlaku.


Apabila pihak yang menuduh akhirnya menarik balik kenyataan serta bersetuju membayar kos, persoalan sebenar masih belum terjawab. Siapakah yang memulihkan maruah yang telah dihancurkan?


Fitnah yang bermula pada tahun 2023 dan hanya diselesaikan pada 2026 bukan sekadar isu tempoh, tetapi bukti bagaimana persepsi boleh dibina, diperkuat dan akhirnya dipercayai walaupun tanpa asas yang benar.


Inilah kemenangan fitnah yang sebenar, bukan di mahkamah, tetapi dalam minda masyarakat. Berapa ramai yang telah mempercayai sesuatu yang tidak benar? Berapa ramai yang telah menyebarkannya tanpa tabayyun?


Lebih membimbangkan apabila fitnah ini datang daripada pihak yang membawa imej agama. Apabila individu yang sepatutnya menjadi rujukan moral terlibat dalam penyebaran tuduhan, maka kerosakan itu melangkaui politik. Ia mencemarkan kesucian agama itu sendiri. Seolah-olah agama dijadikan alat untuk membenarkan kebatilan.


Sedangkan Allah SWT telah memberi amaran yang sangat keras:


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun) terlebih dahulu…” -Surah Al-Hujurat: 6


Ayat ini bukan sekadar saranan, tetapi satu perintah yang jelas. Kegagalan melakukan tabayyun bukan sahaja mencetuskan fitnah, malah membuka ruang kepada kezaliman terhadap individu yang difitnah.

Lebih berat lagi, Allah SWT menyifatkan fitnah sebagai sesuatu yang lebih dahsyat daripada pembunuhan: “Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada membunuh.” - Surah Al-Baqarah: 191


Apakah maknanya? Ia bermaksud fitnah mampu membunuh karakter, menghancurkan kehidupan sosial, merosakkan keluarga, dan memusnahkan kepercayaan masyarakat tanpa darah yang tumpah, tetapi kesannya lebih dalam dan berpanjangan.


Gagal pelihara adab, integriti


Apa yang berlaku hari ini menunjukkan krisis nilai yang serius. Apabila fitnah dinormalisasikan, apabila tuduhan dilempar tanpa rasa bersalah, apabila permohonan maaf hanya hadir setelah tekanan atau tindakan undang-undang. Ini bukan lagi isu individu. Ini adalah kegagalan kolektif dalam memelihara adab dan integriti.

Farahida Fauzi
Farahida Fauzi

Lebih menyedihkan, budaya ini meresap ke dalam masyarakat hingga ke institusi pendidikan. Apabila orang dewasa termasuk mereka yang bergelar pendidik turut terlibat dalam budaya makian, tuduhan dan penyebaran maklumat tidak sahih, maka generasi muda sedang diajar satu “kurikulum tersembunyi” yang merosakkan.


Mereka belajar bahawa kebenaran boleh ditangguhkan, bahawa fitnah boleh digunakan sebagai senjata, dan bahawa maruah manusia tidak lagi bernilai.


Rasulullah SAW juga telah mengingatkan dengan tegas:


“Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia menceritakan setiap apa yang didengarnya.” - Hadis riwayat Muslim


Hadis ini jelas menyebarkan sesuatu tanpa semakan sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu berdosa. Maka bagaimana pula dengan mereka yang mencipta dan menyebarkan fitnah secara sedar?. Hakikatnya, undang-undang hanya mampu menutup kes, tetapi tidak mampu memulihkan sepenuhnya luka yang telah ditoreh.


Jangan guna agama untuk tutup kebatilan


Maruah tidak boleh diganti dengan wang. Reputasi tidak boleh dipulihkan sepenuhnya dengan satu penarikan balik kenyataan. Apa yang hilang mungkin kekal hilang dalam persepsi sebahagian masyarakat.


Inilah sebabnya mengapa para ulama dahulu memberi peringatan melalui kisah yang sangat mendalam. Fitnah itu seperti bulu yang dilepaskan ke udara. Mudah disebar, mustahil dikumpul kembali.


Justeru, persoalan yang lebih besar perlu kita hadapi dengan jujur:


Apakah nilai yang sedang kita wariskan kepada generasi muda?

Apakah kita sedang membina masyarakat yang berteraskan kebenaran atau membiarkan fitnah menjadi norma?


Jika golongan berilmu sendiri gagal menjaga lisan, jika nama agama digunakan untuk menutup kebatilan, maka masyarakat akan hilang arah. Kepercayaan akan runtuh. Dan yang paling membimbangkan agama itu sendiri akan dipersoalkan oleh generasi yang melihat percanggahan antara ajaran dan amalan.


Cukuplah. Ini bukan lagi masa untuk berdiam diri atau bersikap lunak terhadap budaya fitnah.


Fitnah mesti dihentikan. Maruah mesti dipertahankan. Kebenaran mesti ditegakkan walau pahit, walau berat.


Jika tidak, kita bukan sahaja merosakkan individu, tetapi sedang meruntuhkan masa depan umat.


Astaghfirullahal ‘azim.




Farahida Fauzi merupakan Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Wanita KEADILAN Pusat dan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page