Laporan yang disiarkan media atas talian baru-baru ini, menyebut Farid Hashim sebagai Setiausaha AMK Cabang Teluk Kemang dan membuat satu laporan polis ke atas komen Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak tepat.
Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN Cabang Teluk Kemang, Mohamed Nazir Sahul Hamid (gambar) menafikan individu yang bernama Farid Hashim merupakan Setiausaha AMK Cabang.
Katanya, dakwaan yang dibuat oleh Farid berhubung Anwar berkongsi 'berita palsu' berkenaan jumlah pendatang tanpa izin dan isu operasi agensi nombor ramalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar diambil tindakan tegas oleh KEADILAN.
"Individu tersebut telah membuat satu fitnah yang keterlaluan terhadap Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sehubungan itu, saya membuat satu laporan polis bagi memohon pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap beliau.
"KEADILAN juga diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu ini," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Farid membuat satu laporan polis berhubung komen Anwar di dalam siaran Facebook live mengenai jumlah pendatang tanpa izin dan pembukaan agensi nombor ramalan ketika negara masih dalam PKP. Beliau menggesa siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.
Comments