
Tohmahan ahli dan penyokong parti politik yang tidak bertanggungjawab mendakwa Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap politik di dalam masjid minggu lalu menyebabkan dua individu dihantar notis tuntutan semalam.
Menurut peguam beliau, Asheeq Ali Sethi Alivi, salah satu notis itu dihantar kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani berhubung dakwaan penceramah itu Fahmi memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang pada 30 Julai lepas.
Satu lagi individu, katanya, adalah pemilik dan pentadbir Laman Facebook ‘N13 Kuang.’
Kata Asheeq, kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh kedua-dua individu terbabit melalui akaun Facebook dan Instagram adalah berniat jahat menjatuhkan nama baik Fahmi seterusnya menggambarkan seolah-olah beliau menderhaka terhadap arahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengadakan ceramah politik di masjid.
Katanya melalui notis itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan menuntut antara lain penarikan balik kenyataan fitnah itu dan permohonan maaf secara terbuka daripada kedua-dua individu dalam tempoh 24 jam.
Peguam itu berkata jika kedua-dua individu gagal memenuhi tuntutan tersebut, pihaknya telah diarah memfailkan tuntutan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka dengan serta-merta.
Sebelum itu, Fahmi menyanggah fitnah yang dilemparkan kononnya beliau berkempen di masjid serta menegaskan sedia memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Agama Islam Selangor sekiranya diperlukan.
Comments