Fitnah akaun bank terkait PM: Sekpur lapor polis TikTok "puterakatak09"
- Suara Keadilan

- Oct 3
- 2 min read
Updated: Oct 4

Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) bersama gabungan beberapa NGO membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari ini terhadap akaun TikTok "puterakatak09" berhubung penyebaran video fitnah yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dakwaan mempunyai 20 akaun bank di Israel.
Naib Pengerusi Sekpur, Shahbudin Embun berkata video tersebut mengandungi kenyataan jahat, tidak berasas dan berpotensi mengelirukan rakyat.
Kandungan laporan yang dilihat media menyatakan bahawa tohmahan tersebut amat tidak tepat dan merosakkan nama baik PM, dan pihak polis diminta bertindak kepada pemilik akaun tersebut.
"Saya pada 2 Okt 2025 jam 6.00 petang ketika berada di Lazdana Hotel telah melihat di dalam media sosial video TikTok dengan nama akaun "puterakatak09" membuat kenyataan-kenyataan berunsur fitnah jahat melampau yang berpotensi mengelirukan rakyat dengan tohmahan terhadap YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mempunyai 20 akaun di negara Israel
"Beliau mengatakan PMX adalah seorang bekas banduan mengaku ada akaun di Israel, tetapi ia tohmahan semata-mata kerana isu ini telah diperiksa dan disiasat oleh SPRM.
"Dalam kenyataan media (26 Sept 2025), SPRM telah menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan pada tahun 1999 dan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan PMX," katanya dalam laporan itu.
Menurut Shahbudin, tohmahan itu mengaitkan PMX sebagai seorang bekas banduan mempunyai akaun di Israel. Namun siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1999.
Hasil siasatan, katanya, mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan PMX dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa berkaitan dengan tohmahan 20 akaun bank itu di Israel itu.
Tegas Shahbudin, kandungan tersebut didakwa melanggar beberapa undang-undang, antaranya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana memuat naik kandungan fitnah serta Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan (Akta 574) berkaitan jenayah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi Perdana Menteri.
Laporan polis itu dibuat selepas beliau bersama wakil NGO termasuk MEMO, Waris PEKEMBAR, Persona Perlis, AMG, Otai Reformis, MJMM dan lain-lain, meneliti video terbabit pada 2 Oktober di sebuah hotel di ibu negara.
"Saya memohon pihak polis untuk mengambil tindakan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kandungan video serta mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mereka sekiranya didapati bersalah," tegasnya.
Beliau turut menyeru tindakan segera diambil bagi memastikan undang-undang ditegakkan serta mengelakkan kandungan fitnah sebegini menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara.









Comments